
Madius dalam kenyataan berkata cadangan itu jika diterima itu akan memudahkan rakyat bekerja di luar kawasan pulang mengundi, di samping menghormati hari-hari ibadah pelbagai agama.
Menurutnya, Jumaat adalah hari ibadah bagi umat Islam manakala Sabtu bagi penganut Seventh-Day Adventist dan True Jesus Church dan penganut Kristian termasuk Katolik dan Protestan pula pada Ahad.
“Hari Isnin pilihan terbaik kerana pengundi boleh pulang ke kampung lebih awal pada hujung minggu, beribadah bersama keluarga dan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Isnin,” katanya mencadangkan cuti khas diberikan bagi memudahkan rakyat menunaikan hak.

SPR akan mengumumkan tarikh penting PRN Sabah seperti penamaan calon dan pengundian selepas mesyuarat khasnya, esok.
DUN Sabah dibubarkan pada 6 Okt lalu untuk memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Madius yang juga presiden kehormat Upko berkata cadangannya itu juga seiring dengan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan keseimbangan antara intelek, rohani, emosi dan jasmani.
“Ada yang risau hari mengundi pada hari bekerja akan ganggu persekolahan, tapi saya melihat dari sudut lebih luas — sejauh mana kita benar-benar mengamalkan nilai dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Falsafah itu bukan sekadar untuk murid di sekolah, tetapi perlu diterjemahkan dalam dasar kerajaan supaya menjadi contoh kepada generasi muda,” katanya.