
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, peletakan jawatan Frankie Poon dan Liau Fui Fui menandakan ‘titik perubahan penting’ bagi parti itu di Sabah — memandangkan Poon pernah memegang jawatan sebagai pengerusi DAP negeri.
“Pemergian mereka, bersama beberapa cawangan parti, bukan sekadar kehilangan individu tetapi juga satu kelemahan struktur dalam jentera tempatan DAP,” katanya kepada FMT.

Bilcher berkata, episod itu mencerminkan perpecahan dalaman serius dalam DAP Sabah, merujuk kepada dakwaan kedua-dua mereka tentang ‘agenda tersembunyi’ untuk menggantikan ahli senior dengan tokoh muda.
Katanya, ini menunjukkan rasa tidak puas hati mendalam dan bukannya sekadar rombakan rutin. Tambahnya, DAP perlu berhati-hati dalam mengimbangi agenda pembaharuan generasi di peringkat nasional dengan budaya unik politik tempatan Sabah.
“DAP sudah lama mengangkat kepimpinan muda dan pembaharuan generasi sebagai sebahagian daripada strategi nasionalnya.
“Namun di Sabah, di mana kesetiaan politik dan senioriti mempunyai nilai budaya tersendiri, tindakan menyingkirkan tokoh veteran secara mendadak tanpa perbincangan terbuka dianggap oleh ramai penyokong tempatan sebagai tidak menghormati mereka.
“Persepsi wujudnya pertelagahan dalaman dan tidak menghormati pemimpin senior boleh menjauhkan pengundi lama serta mengelirukan pengundi muda,” katanya.
Walaupun perubahan itu mungkin perlu dilakukan, Bilcher berkata cara pelaksanaannya dianggap tidak sensitif, sekali gus mengukuhkan kritikan Poon dan Liau.
Beliau juga memberi amaran bahawa isu ini boleh menjejaskan kekuatan akar umbi DAP di Sandakan dan kawasan timur Sabah — kawasan yang sejak sekian lama terlalu bergantung kepada hubungan peribadi.
“Hilang dua cawangan bermakna hilangnya penggerak tempatan, sukarelawan dan kapasiti jangkauan pengundi,” katanya, sambil menambah bahawa Ahli Parlimen Sandakan dan Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong, memerlukan masa untuk membina semula sokongan.

Hujung minggu lalu, Ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata parti menghormati keputusan Poon dan Liau untuk keluar bersama cawangan masing-masing.
Namun, beliau menafikan bahawa veteran diketepikan dalam DAP Sabah, sambil menegaskan bahawa Timbalan Pengerusi Chan Foong Hin dan Naib Pengerusi Jannie Lasimbang bersama ahli veteran lain masih memainkan peranan penting dalam kepimpinan parti negeri itu.
Poon, yang dilantik sebagai pengerusi DAP Sabah pada November 2021, hilang jawatan itu kepada Phoong dalam pemilihan parti tahun lalu. Pada usia 36 tahun, Phoong kini merupakan ketua DAP negeri termuda.
Kedua-duanya, Poon dan Phoong, pertama kali dipilih sebagai Adun Tanjong Papat dan Luyang pada PRU 2018, dan berjaya mempertahankan kerusi mereka pada PRN 2020.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari UMS percaya keputusan Poon dan Liau didorong oleh kekecewaan terhadap usaha DAP yang dilihat mahu mengutamakan calon muda pada PRN akan datang.
Dengan pemergian mereka dan khabar angin bahawa lebih ramai veteran DAP Sabah diketepikan, Lee menjangkakan perebutan sengit bagi kerusi majoriti Cina dalam PRN nanti.
“Pertarungan bagi kerusi majoriti Cina dijangka sengit. Warisan dilihat sebagai alternatif utama kepada DAP, selain peningkatan sentimen parti tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, Lee menjangka kebanyakan pengundi DAP masih akan menyokong parti itu walaupun berdepan pergolakan dalaman.
“Kebanyakan pengundi DAP memilih berdasarkan logo parti. Siapa pun calon yang diketengahkan, mereka tidak akan menghadapi masalah besar selagi tidak mempunyai rekod buruk.”