
Khairy berkata, arwah bapa mentuanya dan bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini pernah berpesan supaya Reezal Merican Naina Merican ‘menjaga’ Kepala Batas.
“Takkanlah saya tak menghormati keputusan dan hajat orang tua saya (Abdullah).
“Kepala Batas ini…waktu Pak Lah ada lagi dia pesan kepada kami. Kami ni dua anak buah dialah, saya menantu, Reezal ‘anak politik’ dia. Dia pesan kepada kami Kepala Batas biar Reezal yang jaga.
“Saya doakan yang terbaik untuk beliau dalam PRU akan datang, semoga dapat rampas semula Kepala Batas,” katanya ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Reezal di Bertam.
Beliau mengulas khabar angin akan dicalonkan di Kepala Batas iaitu kerusi diwakili Abdullah selama tujuh penggal berturut-turut dari 1978 hingga 2013.
Abdullah kemudian digantikan Reezal yang menyandang kerusi itu selama dua penggal sebelum kalah kepada Siti Mastura Muhammad daripada PAS pada PRU 2022.
Sementara itu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, terlalu awal untuk membincangkan kerusi akan ditandinginya pada PRU16 kerana keputusan terletak di tangan Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi.
“Saya pun minta keahlian lama saya, keahlian lama saya di bahagian Sungai Buloh,” katanya.
Katanya, permohonan untuk menyertai semula Umno akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada 17 April, dengan keputusan dijangka dibuat pada hari sama.
“Sudah tentu, saya akan terima apa saja keputusan parti,” katanya.
Pada 28 Mac, Bernama melaporkan Khairy berkata beliau berhasrat kembali kepada Umno sebagai ahli biasa tanpa memikirkan sebarang jawatan.
Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, berkata permohonan beberapa bekas pemimpin termasuk Khairy bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ akan dibawa ke mesyuarat MKT pada 17 April.