
Dalam catatan di platform Truth Social pada Isnin, semasa berlepas ke Jepun, Trump berkata, AS telah menandatangani perjanjian perdagangan dan nadir bumi penting dengan Malaysia, penganjur persidangan itu.
Selain itu, katanya, yang paling penting adalah beliau turut menyaksikan pemeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja pada Ahad.
“Tiada perang! Berjuta-juta nyawa diselamatkan,” catat presiden itu.
“Suatu penghormatan untuk saya melakukan ini. Sekarang, ke Jepun!!!”
Trump tiba di Malaysia sekitar 10 pagi semalam dan berlepas ke Jepun pada 10.06 pagi hari ini, sekali gus menamatkan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia dan penyertaan pertamanya dalam sidang kemuncak pemimpin Asean sejak memegang jawatan presiden buat kali kedua pada Januari lepas.
Pada Ahad, Trump bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menyaksikan pemeteraian perjanjian damai bersejarah digelar Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL) antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.
Beliau turut menandatangani perjanjian perdagangan dengan Thailand dan Kemboja semalam.
Dalam jadual padatnya semalam, Trump juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar, menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Mineral Penting antara Malaysia dan AS.
Pemimpin AS itu juga menghadiri Sidang Kemuncak Asean-AS ke-13 semalam.
Trump merupakan presiden Amerika ketiga melawat Malaysia, selepas Lyndon B Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 dan 2015.