
Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni Francis Koh berkata walaupun tuntutan insuransnya baru-baru ini diluluskan, proses itu mengambil masa panjang kerana pihak insurans meletakkan syarat tambahan sebelum membuat bayaran.
“Syarikat insurans beritahu mereka akan menahan 20% daripada bayaran pampasan sehingga saya kemukakan gambar dan invois sebagai bukti semua kerja pembaikan telah disiapkan.
“Mereka juga menetapkan syarat kerja pembaikan mesti diselesaikan dalam tempoh dua bulan selepas saya menerima 80% pertama daripada jumlah tuntutan diluluskan,” katanya kepada FMT.
Menurut Koh, syarat itu bercanggah pendirian PIAM yang menegaskan semua syarikat insurans perlu meluluskan dan membayar tuntutan dengan segera tanpa mengenakan syarat yang tidak munasabah.
Koh berkata selepas FMT menghubungi pihak insurans minggu lalu untuk mendapatkan maklumat tentang status tuntutannya, syarikat itu pada awalnya menjawab bahawa kes itu ‘sedang disemak’.
Namun, beberapa jam kemudian, mereka menghantar mesej memaklumkan bahawa ‘kes sudah diselesaikan’.
Walaupun lega, Koh berkata beliau tetap mahu berkongsi kisahnya supaya penduduk lain yang turut terjejas lebih peka dengan hak mereka.
“Masih ramai yang belum terima wang pampasan. Ada juga yang nilai insurans rumah mereka dipotong daripada RM650,000 kepada RM20,450,” katanya.
“Ada yang hanya dibayar sebahagian dan terpaksa keluarkan duit sendiri untuk tampung baki kos pembaikan,” tambahnya.
Koh mendakwa sesetengah syarikat insurans sengaja melengah-lengahkan bayaran dengan alasan kerajaan sedang membantu membaiki sebahagian rumah yang rosak, sesuatu yang disifatkannya tidak adil.
“Kami hanya mahu hak kami. Pihak insurans tidak boleh guna alasan bantuan kerajaan untuk tangguh bayaran. Sudah hampir tujuh bulan, kami masih belum dapat pulang ke rumah. Kami perlukan tempat tinggal secepat mungkin,” katanya.
Dalam kejadian 1 April lalu, paip gas di Putra Heights meletup dan menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter, dengan suhu dianggarkan mencecah 1,000°C.
Tiada kematian dilaporkan, namun sekitar 150 orang mendapatkan rawatan di hospital.
Menurut kerajaan Selangor dan agensi persekutuan, lebih 400 keluarga terpaksa berpindah dan lebih 500 rumah serta ratusan kenderaan mengalami kerosakan.