Belanjawan Kedah 2026 belum mampu pacu ekonomi, dakwa Umno

Belanjawan Kedah 2026 belum mampu pacu ekonomi, dakwa Umno

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata belanjawan RM1.33 bilion itu masih bergantung kepada hasil tanah dan bantuan pusat.

bandar alor setar
Belanjawan Kedah 2026 yang dibentang Menteri Besar Sanusi Nor memperuntukkan dana RM1.33 bilion. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Belanjawan Kedah 2026 bernilai RM1.33 bilion dibentangkan semalam didakwa belum menawarkan perubahan ekonomi bermakna kepada rakyat negeri itu, kata seorang pemimpin Umno.

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata walaupun digambarkan sebagai bajet seimbang dan berdisiplin, ia masih jauh daripada mencapai tujuan pembangunan sebenar yang dapat memperkukuh ekonomi jangka panjang.

Katanya, jurang besar antara hasil dan perbelanjaan menunjukkan Kedah masih berbelanja melebihi kemampuan sendiri dan bergantung kuat kepada kerajaan Persekutuan, terutama untuk projek infrastruktur dan kemudahan asas.

“Sebahagian besar hasil negeri masih bertumpu kepada tanah dan penjualan aset.

Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

“Kedah belum bergerak ke arah ekonomi moden yang berasaskan sektor industri dan pelaburan bernilai tinggi,” katanya mengulas belanjawan diumumkan Menteri Besar Sanusi Nor.

Shaiful berkata, keadaan itu menggambarkan struktur ekonomi Kedah yang masih statik dan belum memasuki fasa transformasi yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam perancangan kewangan negeri.

Beliau juga menyatakan peruntukan bajet banyak ditumpukan kepada perbelanjaan operasi, menyebabkan ruang untuk pelaburan baharu menjadi terhad.

“Malah, beberapa projek penting seperti pembinaan jalan dan pembekalan air masih bergantung kepada geran pusat,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, pelaksanaan program sosial, pendidikan dan belia pula banyak disokong oleh entiti luar seperti institusi zakat, yayasan dan syarikat korporat.

Jelasnya, keadaan itu menggambarkan keupayaan kewangan kerajaan negeri yang masih lemah untuk menanggung tanggungjawab sosial secara menyeluruh.

Beliau turut mempersoalkan ketiadaan strategi komprehensif untuk menarik pelaburan besar atau membangunkan sektor ekonomi baharu yang boleh menawarkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan jangka panjang kepada rakyat Kedah.

“Bajet ini lebih bersifat mengekalkan pentadbiran sedia ada, bukannya bajet untuk mencipta anjakan ekonomi.

“Kedah perlu berani membuat perubahan dan merangka pelan pertumbuhan yang lebih progresif,” katanya.

Menurut Shaiful, Umno Kedah akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang bertanggungjawab, menyokong dasar baik serta menegur secara fakta apabila dasar kerajaan negeri tidak memihak kepada kepentingan rakyat.

“Kami percaya bajet yang baik bukan sekadar menghasilkan angka kelihatan cantik, tetapi memastikan setiap sen dibelanjakan benar-benar membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.