
Ini susulan pengumuman Thailand berhubung penggantungan pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja selepas letupan periuk api mencederakan dua tenteranya berdekatan sempadan kedua-dua negara, semalam.
Menurut Anwar, beliau sudah berhubung dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan dimaklumkan penangguhan itu bukan serangan dan dibuat sehingga masalah ‘landmine’ diselesaikan sebelum meneruskan perjanjian.
“Jadi sekarang Parlimen Angkatan Tentera itu sedang berunding balik. Perjanjian dia ialah undur daripada batasan dan selesaikan masalah letupan yang berlaku kerana ‘landmine’ dan itu dalam proses.
“Perdana menteri (Thailand) tak pertikai tanggungjawab dan peranan kita. Cuma kena gesa supaya Kemboja mematuhi sepenuhnya dan 18 tahanan di bawah Thailand itu akan dilepaskan semua mengikut perjanjian damai antara dua negara itu,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
“Semua kena faham, mereka yang tentukan parameter, bukan kita letakkan syarat. Kita hanya bantu menyelaraskan dan memohon perdamaian dan yang bersetuju itu kedua-duanya. Kalau ada pelanggaran, baru timbul masalah”.
Beliau menjawab soalan tambahan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mempersoalkan perdana menteri Thailand menolak cadangan untuk menghantar lebih ramai tentera pengaman ke sempadan Thailand baru-baru ini.
Semalam, media melaporkan Anutin mengancam membatalkan perjanjian damai dengan Kemboja yang dimeterai bulan lalu, susulan letupan periuk api mencederakan dua anggota tentera Thailand berhampiran sempadan kedua-dua negara.
Anggota tentera itu terpijak periuk api dipercayai baru ditanam ketika menjalankan rondaan rutin pada Isnin di wilayah Si Sa Ket, menurut tentera Thailand.
Ia adalah insiden letupan ketujuh dalam tempoh empat bulan, susulan siri letupan pada Julai lalu yang mencetuskan pertempuran sempadan paling berdarah dalam beberapa tahun.
Berikutan insiden itu, Anutin berkata Thailand menggantung pelaksanaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur, yang disokong Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang menetapkan langkah pengunduran senjata sebagai sebahagian usaha menormalkan hubungan.
Thailand turut menangguhkan pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang berada dalam tahanan, dijadual dibebaskan bermula 21 Nov bawah syarat perjanjian damai tersebut.
Perjanjian gencatan senjata awal antara Thailand dan Kemboja adalah hasil usaha Malaysia sebagai pengerusi Asean dan AS.