
“Dalam seminggu dua ini saya akan ke Afrika Selatan, Kenya dan Ethiopia. Saya dah bagi jaminan, saya akan jadi pegawai pemasaran Perodua yang pertama secara probono.
“Tak ada bayaran, gaji pun saya tak ambil,” katanya disambut sorakan warga kerja Perodua ketika sesi lawatan dan ramah mesra di kilang pengeluar kereta nasional itu di Sungai Choh.
Anwar berkata, perjumpaan dengan tenaga kerja Perodua bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi tanda sokongan penuh kerajaan dan rakyat terhadap syarikat tersebut sebagai lambang keupayaan tenaga kerja Malaysia dalam industri automotif.
“Saya lihat pekerja di sini datang dari seluruh negara – Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Anda semua bekerja sebagai satu pasukan dan membuktikan bahawa dengan teknologi, disiplin dan pengurusan yang baik, tiada yang mustahil untuk dicapai,” katanya.
Beliau turut menekankan Perodua kini berada di landasan tepat menuju era teknologi baharu yang menuntut kemahiran digital, kecerdasan buatan (AI), serta latihan semula dan peningkatan kemahiran.
“Saya rasa berada di Perodua ini lebih menyeronokkan daripada menjawab soalan di Parlimen,” selorohnya, sambil mencadangkan tarikh pelancaran rasmi model kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua pada hujung bulan ini.
Anwar turut menegaskan kerajaan akan memastikan pelancaran rasmi model EV Perodua hujung bulan ini dijadikan acara nasional penting, simbol keupayaan Malaysia menghasilkan kenderaan moden sepenuhnya buatan tempatan, dengan harga berpatutan untuk rakyat.
“Saya akan beri arahan kepada Jemaah Menteri bahawa peluncuran Perodua EV baharu kali ini dijadikan sebagai satu agenda nasional yang besar. Ia bukan sekadar peluncuran produk, tetapi menggabungkan soal ‘governance, social responsibility dan environmental protection’,” katanya.