
Permintaan itu dibuat dalam satu kumpulan WhatsApp ‘MB Selangor’ yang diwujudkan khas untuk tujuan tersebut dan dikendalikan oleh seorang pentadbir yang hanya dikenali sebagai ‘Madani’.
Selain Amirudin, yang nombor telefonnya telah disahkan, kumpulan sembang itu turut disertai beberapa Adun Selangor daripada kerajaan dan pembangkang, beberapa pemimpin parti politik, serta sekurang-kurangnya dua wartawan, termasuk seorang daripada FMT.
Dalam kumpulan itu, ‘Madani’ menyampaikan mesejnya secara langsung kepada Amirudin, menggesa menteri besar supaya ‘menjawab dengan jujur dan adil’.
‘Madani’ juga mendakwa pegawai tersebut telah ‘menjadi jutawan’ sejak Amirudin memegang jawatan, memiliki sebuah rumah banglo bernilai RM3 juta dan membawa keluarganya bercuti mewah ke luar negara.
Selain memegang jawatan kanan dalam pentadbiran negeri, ‘Madani’ mendakwa pegawai itu juga berkhidmat sebagai penyelaras kawasan dan menjadi ahli lembaga sebuah syarikat milik kerajaan negeri serta sebuah kelab golf ternama. Pegawai itu juga dikatakan hampir dilantik ke lembaga sebuah lagi agensi negeri Selangor.
‘Madani’ meminta Amirudin menjelaskan mengapa ‘seorang individu dilantik ke begitu banyak jawatan’, sambil menambah bahawa ia menimbulkan persepsi bahawa ‘tiada orang lain di Selangor yang layak’.
Menteri besar itu turut diminta mendedahkan jumlah pendapatan bulanan pegawai berkenaan.
Perbualan dalam kumpulan tersebut juga mengandungi beberapa dakwaan lain, termasuk bahawa pegawai itu telah meminta ‘dana pembangunan’ daripada pelbagai kontrak dan mendapatkan manfaat daripada beberapa projek daerah.
Apabila dihubungi, pegawai berkenaan, yang identitinya tidak didedahkan, berkata adalah tidak sesuai untuk mengulas.
FMT juga telah menghubungi menteri besar untuk mendapatkan komen.