Calon PH tarik diri tanding di Silam

Calon PH tarik diri tanding di Silam

Keputusan Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri bermakna DUN Silam kini berbaki lapan calon bertanding.

Majlis Pimpinan PKR Sabah menghormati keputusan Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga hubungan baik antara parti komponen PH.
PETALING JAYA:
Majlis Pimpinan PKR Sabah berkata calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan membuat keputusan sendiri tanpa sebarang tekanan pihak luar untuk menarik diri bertanding PRN Sabah ke-17.

Pengerusinya, Mustapha Sakmud, berkata Majlis Pimpinan PKR Sabah menghormati keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti komponen PH serta rakan kerjasama politik di negeri itu.

“Semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Halim antara 12 calon PKR bertanding pada PRN Sabah hujung bulan ini dan keputusannya menarik diri bermakna DUN Silam tinggal lapan calon bertanding.

Mustapha berkata, walaupun tidak bertanding, Halim komited terus berkhidmat kepada rakyat di Salim dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti.

Menurutnya, PKR Sabah menghargai semangat perjuangan Halim yang tidak pernah pudar demi rakyat dan negeri.

“Kami menyeru seluruh jentera dan penyokong PH di Silam khususnya dan Lahad Datu amnya agar kekal tenang, terus fokus dan terus memperkukuh perpaduan demi kemenangan gabungan kita dan masa depan rakyat Sabah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.