300 ahli Warisan serah borang untuk bersama GRS

300 ahli Warisan serah borang untuk bersama GRS

Wakil mereka kata ia atas kesedaran dan keperluan mendesak pengundi memilih GRS, dan menikmati kemudahan seperti dirasai pengundi di kawasan parti kerajaan.

Seramai 300 ahli Warisan di DUN Darau serah borang kepada calon GRS, Razali Razi (tengah), mohon sertai Gagasan Rakyat.
SEPANGGAR:
Seramai 300 ahli Warisan di DUN Darau menghantar borang permohonan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Borang mereka diserahkan oleh bekas ahli jawatankuasa Warisan Sepanggar, Sabar Dasad, kepada Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Razali Razi pada majlis di Jalan Kalansanan, malam tadi.

Serahan disaksikan Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Balung, Ismail Sabran, yang juga bekas timbalan ketua Pemuda Warisan Sabah; dan Timbalan Pengerusi Parti Liberal Demokratik Sabah, Yong Vui Chung.

Gagasan Rakyat merupakan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Razali yang lebih dikenali sebagai Bob dalam kalangan penduduk bertanding di DUN Darau.

Pada PRN 2020, DUN Darau dimenangi calon Warisan, Azhar Matussin, dengan majoriti 562 undi. Azhar dalam misi mempertahankan kerusi itu pada PRN17.

Sabar berkata keputusan menyertai Gagasan Rakyat ini atas kesedaran dan keperluan mendesak pengundi memilih GRS, dan menikmati kemudahan seperti dirasai pengundi di kawasan parti kerajaan.

“Bukan senang untuk membuat keputusan, tapi di atas kesedaran bahawa perubahan perlu dilakukan dan hilang keyakinan kepada kepimpinan yang ada iaitu Warisan di Sepanggar ini, maka kita buat keputusan untuk bersama GRS,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu, Razali tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai ahli parti lain akan menyertai GRS selepas mengambil kira ‘mood’ pengundi yang mahukan kestabilan bawah kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Kita tak boleh umum sekarang tapi akan ada lagi,” katanya.

Sejumlah 596 calon bertanding dalam PRN Sabah ke-17 dengan pengundi berdaftar seramai 1,784,843 orang. Pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.