FAM bawa Fifa ke timbang tara sukan

FAM bawa Fifa ke timbang tara sukan

Keputusan itu dibuat selepas penerimaan alasan keputusan penuh penolakan rayuan FAM oleh Fifa.

logo FAM
FAM menegaskan kekal komited memperjuangkan hak semua pemain kebangsaan mewakili negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan merayu sekatan dikenakan Fifa pada September berhubung status kelayakan tujuh pemain warisan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Dalam kenyataan, Pemangku Presiden Yusoff Mahadi, berkata langkah susulan berkenaan dibuat selepas pihaknya menerima alasan penuh keputusan badan induk bola sepak dunia itu mengenai penolakan rayuan dibangkitkan FAM.

Terdahulu, FMT melaporkan Fifa akan menyiasat FAM mengenai kontroversi membelenggu tujuh pemain warisan Harimau Malaya dan menegur persatuan itu kerana ‘melindungi’ pihak yang bertanggungjawab menyerahkan dokumen palsu.

Dalam penghakiman bertulis, Fifa juga menyeru pihak berkuasa tempatan menyiasat perkara tersebut.

Yusoff berkata, FAM akan ‘memulakan proses untuk membawa kes ini ke CAS’.

“Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan.”

Beliau berkata, FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara.

Pada 3 Nov, Fifa menolak rayuan FAM terhadap sekatan dikenakan ‘secara menyeluruh’ dan mata dipungut skuad Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang sedang berlangsung mungkin dipotong.

FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan penalti oleh Fifa selepas badan bola sepak dunia itu, berkata FAM menyerahkan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam, pada 10 Jun.

FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560), dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa daripada tarikh pemakluman.

Tujuh pemain tersebut ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.