Saya CEO, bukan ‘konsultan’ Harimau Malaya, kata Rob Friend

Saya CEO, bukan ‘konsultan’ Harimau Malaya, kata Rob Friend

Namun, warga Kanada itu tidak menjawab secara langsung kenyataan Fifa yang mengatakan beliau masih berpengkalan di negaranya dan hanya ke Malaysia ketika hari perlawanan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
Bekas pemain bola sepak Robert Douglas Friend, dilantik sebagai CEO Harimau Malaya pada 1 Jan lalu.
PETALING JAYA:
Robert Douglas Friend menegaskan beliau bukan sekadar konsultan, tetapi CEO sebenar pasukan Harimau Malaya.

Friend berkata beliau sudah menyatakan dengan jelas jawatannya sebagai CEO semasa sesi pendengaran Fifa berhubung isu pemain warisan, lapor NST.

Namun, katanya, mungkin berlaku salah faham apabila beliau menerangkan peranan dirinya dalam proses undang-undang itu.

“Ketika sesi pendengaran, saya jelaskan saya turut memberi pandangan kepada firma guaman yang mewakili FAM, sebagai sokongan dalam menyediakan kes.

“Nampaknya konteks ‘pemberi nasihat’ itu ditafsir sebagai ‘konsultan’ dalam ringkasan bertulis,” katanya.

Dalam keputusan bertulis Fifa terhadap rayuan FAM, panel itu menyatakan Friend ‘memegang peranan sebagai konsultan’ kepada persatuan.

Mereka turut merakamkan kenyataan Friend masih tinggal di Kanada dan hanya terbang ke Malaysia pada hari perlawanan.

Friend menjelaskan bahawa peranannya ialah membantu projek pencarian pemain warisan FAM terutamanya dalam memperkukuh bahagian kejurulatihan serta teknikal pasukan.

Panel Fifa turut menukilkan segala proses warisan pemain diuruskan sepenuhnya oleh FAM dan Friend hanya membantu selepas proses itu dibuka pada 22 Ogos.

Beliau dilantik sebagai CEO Harimau Malaya bermula 1 Jan, jawatan baharu yang diwujudkan bagi mengurus pasukan kebangsaan.

Friend bersara sebagai pemain profesional pada 2014 selepas beraksi bersama beberapa kelab termasuk Molde FK, SC Heerenveen dan Borussia Mönchengladbach.

Selepas bersara, beliau menubuhkan Toca Football Canada, sebuah institut latihan berteknologi bola sepak dan turut menjadi pengasas bersama Canadian Premier League, Pacific FC dan Vancouver FC.

Friend berkata beliau menangguhkan kenyataan terbuka mengenai keputusan bertulis Fifa bagi menjaga disiplin sepanjang proses rayuan yang sedang berlangsung di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Namun, beliau mengakui tuntutan rakyat Malaysia untuk penjelasan adalah sesuatu yang wajar.

“Kami masih dalam proses undang-undang, jadi penting segala kenyataan selari dengan strategi rayuan. Tugas saya adalah menyokong pasukan guaman secara senyap dan profesional, bukan menambah kekeliruan.

“Saya hormati kebimbangan penyokong. Saya tetap komited menjalankan tugas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.