Tak gentar saingan 12 penjuru, Remysta yakin rampas semula Moyog

Tak gentar saingan 12 penjuru, Remysta yakin rampas semula Moyog

Calon Pakatan Harapan berusia 37 tahun itu yakin untuk menang kerusi DUN berkenaan yang disandang Ignatius Darell Leiking daripada Warisan.

Calon Pakatan Harapan kerusi DUN Moyog, Remysta Jimmy Taylor menerima kata-kata semangat daripada Naib Presiden PKR R Ramanan selepas siri walkabout di Tamu Desa Babagon. (Gambar Bernama)
PENAMPANG:
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Remysta Jimmy Taylor tidak menganggap kesemua 11 pencabarnya di kawasan itu sebagai pesaing sukar ditandingi pada PRN Sabah ke-17.

Remysta, 37, berkata maklum balas positif sepanjang tempoh berkempen sejak Sabtu lepas menunjukkan calon muda dan muka baharu tidak berdepan kesukaran untuk meraih sokongan pengundi.

“Saya rasa tiadalah (calon lain yang menjadi saingan utama),” katanya ringkas kepada media selepas sesi tinjauan mesra (walkabout) di Tamu Desa Babagon di sini hari ini, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR R Ramanan.

Remysta turut menyatakan keyakinan untuk menang kerusi DUN berkenaan, yang kini disandang Ignatius Darell Leiking daripada Warisan.

“Setiap kampung yang saya dan jentera PH lawati, sambutannya memang luar biasa. Ramai penduduk, termasuk golongan muda, menerima saya dengan baik,” katanya sambil menegaskan beliau tidak berasa tertekan walaupun dicalonkan untuk menawan kerusi DUN Moyog.

Mengenai usaha membantu peniaga kecil dan ekonomi setempat, Remysta berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi penduduk bergantung kepada sumber tempatan seperti penanaman padi bukit, pelancongan komuniti serta pengendalian inap desa.

Sehubungan itu, beliau merancang untuk merangka satu resolusi bagi mewujudkan hab pelancongan yang lebih teratur dan sistematik, sekali gus membuka peluang pendapatan kepada penduduk setempat, termasuk peniaga tamu di kawasan DUN tersebut.

Resolusi itu akan diumumkan semasa Konsert Mega Remysta Harapan pada 25 Nov ini di Buhavan Square, Pekan Donggongon dari 8 malam hingga 10 malam. Acara itu akan diacarakan penyanyi rap Altimet, yang juga Adun Lembah Jaya, dan dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Atmosfera.

Selain itu, acara Gema Suara Harapan akan diadakan pada 27 Nov di Dewan Gawir, Kampung Madsian, bermula 8 malam hingga 10 malam, menampilkan artis tempatan Francis Landong.

“Maka saya menjemput orang ramai, khususnya penduduk DUN Moyog, untuk hadir ke kedua-dua acara ini. Tempat adalah terhad,” katanya.

Moyog mempunyai 31,084 pemilih berdaftar pada PRN ke-17 dan merupakan salah satu daripada DUN dalam Parlimen Penampang selain Kapayan.

Hari pengundian PRN Sabah ditetapkan pada 29 Nov, manakala undi awal pada 25 Nov.

Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.