Rumah mampu milik, bantuan tunai RM100 antara tawaran jika BN tawan Sabah

Rumah mampu milik, bantuan tunai RM100 antara tawaran jika BN tawan Sabah

Enam tonggak manifesto BN dengan penekanan kepada perumahan, bantuan kos sara hidup dan penubuhan Suruhanjaya Air Sabah.

salleh said keruak
Bendahari BN Sabah Salleh Said Keruak membentangkan manifesto gabungan itu bagi PRN 29 Nov ini.
KOTA KINABALU:
Penyediaan rumah mampu milik, bantuan kos sara hidup dan penstrukturan semula pengurusan air antara tawaran utama Barisan Nasional (BN) jika gabungan itu menang PRN Sabah 29 Nov ini.

Manifesto yang menggariskan enam tonggak itu dibentangkan Bendahari BN Sabah, Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, tonggak berkenaan merangkumi Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup; Wanita dan Orang Muda; Pendidikan Berkualiti; Transformasi Politik dan Tadbir Urus; Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan; serta Kelestarian Sumber.

Katanya, tawaran itu mengambil kira keperluan mendesak rakyat termasuk isu perumahan, peluang belia dan kebajikan keluarga.

Antara komponen terbesar manifesto ialah inisiatif Rumah Untuk Rakyat (Rumah SabahKu) yang menyasarkan pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik setahun bagi golongan B40 dan M40.

Salleh berkata, usaha itu bertujuan memastikan lebih ramai rakyat Sabah memiliki kediaman sendiri selain mengurangkan kawasan setinggan melalui pembangunan komuniti terancang.

BN turut menawarkan Dana Khas Baik Pulih Rumah sehingga RM10,000 bagi mangsa B40 yang kediaman mereka rosak akibat banjir, kebakaran atau tanah runtuh.

Katanya, langkah itu penting bagi membantu keluarga yang berdepan bencana tanpa perlu menanggung kos pemulihan yang tinggi.

Bagi golongan muda, BN memperkenalkan Casa Belia, iaitu skim Rumah Mampu Milik Sifar Deposit berkonsepkan ‘sewa untuk milik’ dengan 1,000 unit setahun disediakan untuk belia tempatan membeli rumah pertama.

Selain itu, 500 unit Rumah Transit Belia (RTB) akan diwujudkan di bandar utama untuk membantu anak muda dari luar bandar yang baru bekerja menyesuaikan diri dengan kehidupan bandar pada kadar sewaan rendah.

Di bawah tonggak kebajikan keluarga, manifesto BN menawarkan Skim Bantuan Belian Makanan Tunai (MyMAS) sebanyak RM100 sebulan kepada golongan B40 sebagai tambahan kepada bantuan MySARA oleh kerajaan persekutuan.

Salleh berkata, skim itu dirangka khusus untuk meringankan tekanan kos sara hidup yan kian meningkat.

Manifesto itu turut memperkenalkan Amanah Saham Anak Sabah (Anas) yang menyediakan pelaburan awal RM1,000 kepada setiap bayi Sabah lahir mulai 1 Jan 2026.

Anak yang menerima manfaat itu hanya boleh mengeluarkan simpanan apabila berusia 18 tahun sebagai galakan budaya menabung dan persediaan pendidikan masa depan.

Menyentuh isu air yang menjadi rungutan besar rakyat, BN mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Air Sabah (SAS) sebagai badan bebas yang mengurus sektor air secara profesional dan telus.

Suruhanjaya itu akan menggabungkan pakar teknikal, wakil akademik, NGO pengguna dan kerajaan negeri untuk memastikan gangguan air dapat dikurangkan sehingga bawah 5% setahun menjelang 2030.

BN turut berjanji meningkatkan kapasiti bekalan air sehingga 2050 melalui pembinaan empangan dan loji rawatan baharu selain pemasangan sensor pintar dan penggantian paip usang bagi mengurangkan kebocoran yang menyumbang kepada pembaziran besar ketika ini.

Salleh menegaskan, manifesto itu bukan sekadar senarai janji tetapi satu pelan pembangunan jangka panjang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri.

“BN mempunyai pengalaman mentadbir Sabah. Tawaran ini adalah komitmen kami untuk memacu negeri ini ke arah kemakmuran yang lebih inklusif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.