
Baginda bertitah bahawa kemajuan tidak seharusnya mengorbankan nilai bangsa dan dalam mengejar aspirasi global, bahasa, budaya dan maruah asal-usul wajib dipertahankan.
“Siswazah yang berjaya ialah mereka yang mampu menghubungkan teori dengan realiti, serta mengaplikasikan ilmu untuk manfaat masyarakat.
“Kepakaran harus digerakkan untuk memimpin inovasi, memupuk nilai kemanusiaan dan meningkatkan kesejahteraan sejagat. Itulah makna sebenar seorang intelektual yang berwawasan dunia,” titah baginda di Istiadat Konvokesyen 20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Tuanku Canselor UniMAP itu juga bertitah bahawa siswazah UniMAP perlu menjadi contoh rakyat yang berilmu, berdisiplin dan beradab mampu bersaing di persada dunia tanpa mengabaikan adat serta nilai ketimuran.
Tuanku Raja Muda turut menzahirkan pesanan agar ilmu yang ditimba di UniMAP hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina masa depan yang lebih baik demi kemajuan diri, industri, negara, dan kesejahteraan seluruh manusia.
Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, merangkap Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Sidang pertama ini melibatkan seramai 378 siswazah dari Pusat Pengajian Siswazah (PPS) serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK).