Hubungan baik dengan Hajiji lancar tugas bantu rakyat, kata calon PN

Hubungan baik dengan Hajiji lancar tugas bantu rakyat, kata calon PN

Aliakbar Gulasan hargai peruntukan GRS sebagai Adun dilantik dan nafi dakwaan khianati parti ketika krisis politik 2022.

Aliakbar Gulasan
Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan menolak dakwaan pihak yang melabelnya pengkhianat dan kekal dalam kerajaan kerana melihat kestabilan lebih penting.
KOTA KINABALU:
Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan berkata peruntukan sekitar RM200,000 hingga RM300,000 setahun daripada pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melancarkan tugasnya sebagai Adun dilantik sepanjang lima tahun penggal sebelum ini.

Walaupun jumlahnya tidak besar berbanding Adun kerajaan dipilih, namun calon Perikatan Nasional (PN) DUN Karambunai itu tetap menghargainya yang membolehkan beliau membantu rakyat di kawasan.

Beliau turut menyifatkan hubungannya dengan Ketua Menteri sementara Hajiji Noor sebagai ‘amat baik’ bagi memastikan tugas membantu rakyat berjalan lancar.

“Hubungan kami sangat bagus. Dari segi peruntukan, Adun dilantik memang jauh lebih kecil berbanding Adun menang. Kami menerima sekitar RM200,000 hingga RM300,000 setahun berbanding Adun kerajaan yang mencecah jutaan ringgit.

“Peruntukan itu saya gunakan sepenuhnya untuk rakyat walaupun memang tidak cukup,” katanya dalam temu bual FMT.

Aliakbar antara enam dipilih sebagai Adun dilantik oleh kerajaan Sabah selepas PRN 2020.

Selain beliau, Suhaimi Nasir (BN), Raimi Unggi (BN), Jaffar Walliam (GRS), Yong Teck Lee (SAPP) dan Amisah Yassin (GRS).

Aliakhbar turut menjawab kritikan segelintir pihak yang melabelnya sebagai pengkhianat kerana tidak meninggalkan kerajaan ketika berlaku peralihan politik pada Disember 2022.

“Saya kekal dalam kerajaan kerana saya lihat kestabilan lebih penting. Ada yang kata pengkhianat tetapi bagi saya kita kena matang dalam politik,” katanya.

Pada penghujung Disember 2022, hampir semua pemimpin Bersatu keluar parti itu dan PN namun kekal dalam GRS sekali gus mengubah anggota pentadbiran.

Ada juga gesaan supaya Aliakbar meletak jawatan susulan pembentukan kerajaan Sabah selepas itu membabitkan kerjasama GRS-PH, namun beliau mengekalkan kedudukan sehingga DUN dibubarkan, bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.