
Hajiji berkata, slogan sedemikian mengelirukan kerana Sabah tidak perlu ‘diselamatkan’ daripada perkara tidak nyata, sebaliknya perlu dilindungi daripada ancaman luar termasuk kebanjiran Pati serta tuntutan berterusan pihak tertentu terhadap negeri berkenaan.
“Ada yang menawarkan ‘Selamatkan Sabah’…apa yang nak diselamatkan? Saya seru, selamatkan Sabah daripada pendatang tanpa izin,” kata ketua menteri sementara dalam siri jelajah kempen Rumah Kita, Kita Jaga di Kiulu.
Beliau mendakwa, pihak yang mengangkat slogan itu sebenarnya sedang ‘menyelamatkan diri sendiri’, bukan untuk mempertahankan Sabah.
“Mereka sebenarnya bukan guna slogan itu untuk selamatkan Sabah, tetapi menyelamatkan diri mereka sendiri,” katanya.
Menurut Hajiji, masalah Pati kini berada pada tahap membimbangkan dengan jumlah mereka semakin ramai, termasuk yang tidak memiliki dokumen sah.
Hajiji berkata, isu keselamatan dan kedaulatan negeri perlu ditangani secara serius dan hanya boleh dicapai melalui pentadbiran stabil.
“Kita mahu selamatkan Sabah daripada ancaman luar…dan caranya adalah dengan memilih GRS pada 29 Nov depan,” katanya.
Laporan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2024 diterbitkan Jabatan Perangkaan (DOSM) antara lain mendedahkan daripada 3.7 juta tinggal di Sabah, 2.6 juta adalah penduduk tempatan, manakala kira-kira 1 juta bukan warganegara.
Tugas memantau isu Pati terletak bawah agensi pusat dan kerajaan Sabah. Pada 2022 Hajiji menegaskan Pati dihantar pulang, manakala hanya individu masuk secara sah diberi kad pekerja asing.