
Bercakap kepada FMT, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata penubuhan institusi pengajian tinggi berteraskan O&G akan melengkapkan rangka pembangunan industri yang dirintisnya, ketika menjadi Ahli Parlimen Kimanis dari 2004 hingga 2019.
Menurut Anifah, selama ini beliau berusaha membawa masuk operasi Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT), yang membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan merancakkan sektor tenaga.
“Saya mahu menyempurnakan apa yang telah saya mulakan,” katanya, sambil menjelaskan beliau pernah mencadangkan pembinaan universiti berkenaan namun ketika itu hanya Pusat Latihan Petronas direalisasikan, di Kimanis.
“Saya mahu sesuatu seperti di Perak iaitu Universiti Teknologi Petronas. Saya percaya Petronas mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya,” ujar presiden Parti Cinta Sabah ini.
Beliau berkata pembinaan universiti itu mampu menarik pelajar dari China, Indonesia, Filipina dan beberapa negara lain yang kesan limpahannya akan dapat dirasai ramai.

“Ramai orang boleh belajar dan bekerja, pelbagai perniagaan boleh dibuka,” katanya, yang berdepan pertandingan sembilan penjuru.
Anifah mencabar Daud Yusof dari Warisan di kerusi Bongawan.
Calon lain Mohamad Alamin (Barisan Nasional), Dolores Michael (STAR) Ridzuan Firdaus (Perikatan Nasional), Royston Adven (Parti Impian Sabah), Md Haris Md Tahir (Bebas), Peter Matinjal (KDM) serta Hussin Dasar Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).
Anifah menggariskan lapan inisiatif dan sasaran mahu dilaksanakan, seperti membangunkan ekonomi Bongawan melalui industri utama seperti minyak & gas, agro-industri dan perusahaan kecil sederhana.
Memperkasa modal insan dengan pendidikan moden, kemahiran tinggi dan peluang kerjaya berkualiti turut diberi perhatian, di samping meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui prasarana lengkap, perkhidmatan kesihatan lebih baik dan program sosial berimpak tinggi.
Beliau juga mahu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda Bongawan, sambil mengurangkan penghijrahan belia ke bandar dengan menambah baik pendidikan dan peluang setempat
Menyelesaikan isu asas rakyat seperti jalan raya, air, elektrik dan internet turut diperkatakan, selain meningkatkan taraf hidup penduduk melalui kemudahan komuniti, dan menjadikan Bongawan zon pertumbuhan baharu Sabah dalam jangka panjang.