
Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berkata, langkah itu merupakan satu inisiatif komprehensif untuk membina kemahiran kepimpinan, teknikal dan taktikal pegawai wanita.
Tambahnya, program khusus seperti itu penting memandangkan setakat Disember 2024, penyertaan wanita hanya mencecah 8%, berbanding sasaran 10%.
Syerleena berkata, anggota wanita boleh mengkhususkan kepakaran dalam bidang-bidang kritikal seperti kejuruteraan pertahanan, teknologi dan komunikasi, logistik, perubatan, dan perisikan, navigasi, penerbangan serta penyelidikan keselamatan
“Namun, struktur sedia ada masih belum menyediakan laluan yang cukup jelas untuk kepimpinan wanita pada peringkat tinggi.
“Pegawai wanita mesti diberi peluang, bukan disisihkan kerana stereotaip,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, Malaysia tidak boleh membentuk angkatan tentera abad ke-21 dengan minda abad ke-19, merujuk beberapa negara lain seperti Kanada, New Zealand, Britain dan Amerika Syarikat yang telah membuktikan bahawa apabila wanita diberi ruang dan kepercayaan, keupayaan tentera meningkat secara ketara.
Dalam pada itu, Syerleena turut mempersoalkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi tentera dalam menghadapi cabaran keselamatan moden, terutama dalam konteks geopolitik serantau yang semakin tegang.
Beliau berkata, negara-negara jiran sedang memodenkan aset ketenteraan secara agresif, justeru Malaysia tidak boleh ketinggalan.
“(Kesiapsiagaan) bukan sekadar kehadiran fizikal anggota di lapangan. (Ia) kemampuan sebenar untuk bertindak balas dengan pantas, tepat dan berkesan apabila ancaman muncul sama ada ancaman konvensional, bencana alam, atau perkembangan geopolitik yang memerlukan ‘deployment’ segera.
“Radar kita mesti berfungsi tanpa kompromi. Kapal kita mesti siap belayar jauh lebih lama dan lebih jauh. Helikopter dan pesawat kita mesti dijaga, diselenggara dan mempunyai kadar ketersediaan yang membanggakan,” katanya.