3 bersaudara ditahan kes pukul, ugut

3 bersaudara ditahan kes pukul, ugut

Dua beradik ditahan bersama bapa saudara kerana memukul, mengugut teman lelaki ahli keluarga mereka disebabkan perselisihan faham.

handcuff
Suspek berusia 24 hingga 56 tahun direman empat hari untuk membantu siasatan, menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Khairul Anuar Khalid.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan tiga bersaudara selepas dipercayai memukul dan mengugut teman lelaki kepada seorang daripada ahli keluarga mereka akibat perselisihan faham di Kampung Cheras Baru, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Khairul Anuar Khalid berkata kesemua yang berusia antara 24 hingga 56 tahun ditahan pada 4.30 petang hari sama.

“Dalam kejadian pada 1.40 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun dilaporkan telah menghantar teman wanitanya pulang ke rumah di kampung berkenaan sebelum terjadi perselisihan faham antara mangsa dengan dua abang teman wanitanya.

“Seorang daripada suspek telah bertindak melibas kaki mangsa menggunakan batang paip PVC serta menumbuk mukanya hingga berdarah hingga menyebabkan retak tulang hidung dan dirawat di Hospital Ampang.

“Suspek ketiga yang juga bapa saudara wanita itu bertindak mengugut untuk membunuh mangsa jika pengadu keluar lagi dengan wanita itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, mangsa telah membuat laporan polis pada 4.50 pagi hari yang sama, sebelum semua suspek ditahan dan polis turut merampas sebatang paip bagi membantu siasatan.

Khairul Anuar berkata seorang daripada abang wanita berkenaan mempunyai satu rekod jenayah lampau dan semua lelaki terbabit kini direman empat hari hingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Khairul Anuar berkata empat lelaki termasuk tiga lelaki warga asing berumur 18 hingga 40 tahun ditahan antara Rabu hingga Sabtu lepas kerana disyaki terlibat dalam kes buli jalan raya melibatkan seorang warga asing, di Bukit Ampang, pada 14 Nov.

Kejadian pada 11 malam itu berlaku ketika mangsa yang merupakan warga Pakistan bersama dua rakannya sedang menaiki kereta dan berhenti di lampu isyarat merah sebelum didatangi seorang suspek yang tiba-tiba menjerit dan bertindak agresif cuba menahan kereta mereka.

Suspek kemudian bertindak mengekori dan menghalang kenderaan mangsa hingga di kawasan Ampang Lookout Point dan mendakwa dirinya daripada Kementerian Pertahanan dengan cuba menunjukkan kad kuasa sebelum kira-kira 25 lelaki lagi mengepung dan menyerang mangsa dan serta rakannya secara fizikal.

Ekoran kejadian itu, mangsa cedera di beberapa bahagian badan dan kenderaan dinaikinya turut rosak.

“Semua suspek dibenarkan reman selama tiga hingga enam hari bermula Khamis lepas hingga hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.