
Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebaliknya menegaskan, masalah sebenar adalah budaya hierarki ‘junior-senior’ yang tidak terkawal, dan penguatkuasaan disiplin lemah.
Effendi berkata, usia 13 tahun bukan isu, malah kemasukan awal ke asrama boleh membantu pelajar membentuk disiplin, berdikari, dan bersosialisasi dengan sihat lalu membentuk mandiri dan daya tahan.
“Daya tahan bukanlah bermaksud mereka mesti dibuli. Tahan terhadap buli bukan petanda murid berdaya tahan.
“Yang utama ialah mengekang budaya buli dan segala macam ‘peraturan’ yang tidak masuk akal dalam hierarki junior-senior. Budaya inilah yang sebenarnya menjadi pembunuh senyap terhadap kesejahteraan mental murid yang masih muda,” katanya.
Effendi mengulas persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, berhubung kewajaran pelajar seawal usia 13 tahun ditempatkan di sekolah berasrama.
Ketika membahaskan Rang Undang-undang Antibuli di Dewan Rakyat, Shahidan berkata ada ibu bapa mengadu sikap anak berubah sepenuhnya selepas memasuki asrama pada usia terlalu muda, termasuk menjadi pendiam dan tidak lagi seperti sebelum ini.
Effendi berkata, sikap dan tingkah laku pelajar berubah kerana budaya buli, yang mewujudkan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan senior.
“Jika kehidupan di asrama harmoni, maka tidak timbul isu kewajaran kemasukan pada umur seawal 13 tahun,” katanya.
Sementara itu, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menjelaskan, faktor kemasukan pelajar ke asrama biasanya dipengaruhi keadaan keluarga, keperluan akademik, dan keyakinan ibu bapa pada persekitaran pembelajaran yang teratur.
Presiden Mohamad Ali Hasan menegaskan ibu bapa harus boleh membuat pilihan tersebut.
“Pilihan ini tidak boleh kita halang. Ini adalah hak warganegara masing-masing dan hak kepada ibu bapa untuk memilih untuk menghantar anak-anak itu ke asrama,” katanya.