Undang-undang antibuli mesti tangani budaya biar buli, gesa Syed Saddiq

Undang-undang antibuli mesti tangani budaya biar buli, gesa Syed Saddiq

Wakil rakyat Muar kata institusi pendidikan harus dipertanggungjawabkan atas kegagalan bertindak.

buli-abuse
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kata institusi pendidikan yang gagal bertindak ke atas buli menjadikan mereka ‘bersubahat’. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Undang-undang antibuli yang dicadangkan mesti melangkaui hukuman terhadap pelaku dengan menangani budaya di sekolah dan kolej yang membiarkan buli berterusan, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq (Muda-Muar) mengkritik institusi pendidikan kerana gagal bertindak menangani buli, mengambil contoh kes pembunuhan bekas pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Beliau berkata sekolah dan universiti harus dipertanggungjawabkan, kerana kegagalan bertindak menjadikan mereka ‘bersubahat’ dan ‘bersalah atas kegagalan untuk bertindak’ (guilty by omission).

“Saya nak cadangkan supaya akta ini diperluaskan. Jangan hanya ambil tindakan ke atas pembuli tetapi ‘sistem sokongan’ pembuli,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Antibuli, yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

“Apa yang boleh dilakukan kalau sekolah tidak ikut tatacara operasi standard? Pengetua culas, pengawas melindungi pembuli. Dengan tidak melaporkan kes tersebut, apakah tindakan yang boleh diambil ke atas mereka?”

Takrif harus cermin realiti

Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mempersoalkan takrif buli dalam RUU itu, yang menyatakan perbuatan itu mesti merupakan ‘perbuatan disengajakan’.

Namun hakikatnya tidak semua perbuatan yang menyakitkan, memalukan, atau mencederakan maruah dilakukan secara terancang.

“Kadangkala ia berlaku spontan — satu ayat, satu sentuhan, satu tindakan — dan mangsanya terkesan bertahun-tahun,” katanya.

“Adakah kita mahu berkata kepada seorang remaja yang trauma bahawa apa yang berlaku kepadanya ‘tidak disengajakan’, lalu tidak termasuk dalam perlindungan?”

Syerleena menyuarakan kebimbangan bahawa RUU itu hanya melindungi pelajar sekolah, tidak termasuk kanak-kanak bawah 18 tahun di pusat latihan belia, akademi sukan, kem kepimpinan, dan program Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau berkata pelatih amat terdedah pada buli yang berpunca daripada hierarki ‘senior-junior’, tekanan prestasi, dan persekitaran tertutup.

“Kalau kita benar-benar mahu membasmi buli, kita tidak boleh tinggalkan satu pun ruang yang boleh menjadi ‘blind spot’,” katanya.

RUU yang mencakupi 54 fasal itu bertujuan untuk mencegah dan menangani buli di institusi pendidikan dan lain-lain, menubuhkan tribunal antibuli, meningkatkan kesedaran, dan menyediakan langkah-langkah berkaitan.

Tribunal tersebut akan mengutamakan penyelesaian aduan melalui mediasi, dengan syarat kedua-dua pihak memberikan persetujuan termaklum dan mediasi dianggap sesuai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.