Dewan Rakyat lulus RUU Antibuli 2025

Dewan Rakyat lulus RUU Antibuli 2025

RUU itu antara lain perkenal mekanisme khusus terima aduan serta penubuhan tribunal antibuli.

buli-sekolah
Statistik sahkan bahawa sekolah ialah lokasi utama kejadian buli berlaku, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Sejarah tercatat dalam Dewan Rakyat hari ini dengan pelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025, suatu inisiatif perundangan komprehensif ke arah mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih selamat dan bebas daripada budaya buli.

RUU yang diluluskan dengan lebih suara bersetuju itu antara lain memperkenalkan mekanisme khusus untuk menerima aduan, mencegah serta menguruskan insiden buli di institusi pendidikan dan institusi lain yang ditetapkan.

Melalui RUU itu, sebuah tribunal antibuli akan ditubuhkan sebagai badan berbidang kuasa sivil bagi mendengar dan memutuskan aduan berkaitan kes buli, sekali gus menyediakan laluan penyelesaian yang lebih cepat, adil dan berstruktur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan berkata, buat permulaan, pelaksanaan RUU tersebut akan terpakai bagi golongan berusia 18 tahun ke bawah.

“Saya berdiri di sini memberi komitmen, jika diizinkan Allah, tahun depan kita akan menilai keberkesanan RUU ini bagi kumpulan bawah 18 tahun, dan pada 2026, kita akan mengkaji perluasan pelaksanaan kepada mereka berusia 18 tahun ke atas,” katanya, lapor Bernama.

Azalina berkata, tribunal boleh mengeluarkan perintah terhadap responden, atau bagi responden kanak-kanak, ibu, bapa atau penjaga, untuk membayar pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000 bagi sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami mangsa akibat buli.

Pendekatan ini bersifat pencegahan kerana tanggungjawab terhadap tingkah laku anak-anak tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada pihak sekolah atau guru, jelasnya.

“Jika ibu bapa mengetahui mereka turut boleh dikenakan ganti rugi atas kelakuan anak yang tidak bertanggungjawab, saya melihat ini boleh berfungsi sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Selain itu, RUU berkenaan juga membolehkan tribunal mengarahkan ibu bapa atau penjaga hadir bersama responden kanak-kanak ke sesi kaunseling atau program sokongan keibubapaan yang disediakan oleh agensi kerajaan.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, Azalina berkata statistik Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan sejak 2019, purata lebih 14,000 kes buli dilaporkan setiap tahun di sekolah rendah dan menengah.

Tambahnya, National Health and Morbidity Survey 2022 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pula menunjukkan 8.6% pelajar berusia 13 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa buli, dengan risiko tiga kali ganda lami kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri.

Sementara itu, data polis merekodkan 160 kes buli, termasuk buli fizikal dan buli atas talian, dengan 78% mangsa terdiri daripada kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun antara Ogos hingga Oktober tahun ini.

“Secara keseluruhannya, statistik ini mengesahkan bahawa sekolah merupakan lokasi utama insiden buli dan kanak-kanak adalah kumpulan paling terdedah dan rentan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.