Beli ladang RM242 juta, SPRM siasat Felcra

Beli ladang RM242 juta, SPRM siasat Felcra

Laporan Ketua Audit Negara 2025 Siri 2 bangkit isu Felcra berhubung pajakan dan pembelian empat ladang kelapa sawit.

felcra
Laporan Ketua Audit Negara 2025 Siri 2 menyatakan terdapat ketakteraturan serius dalam proses perolehan Felcra dalam empat urusan tanah.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat Felcra Bhd susulan audit mendapati syarikat perladangan milik kerajaan itu terlibat dalam perbelanjaan diragui dan pengawasan lemah antara 2022 dan 2024.

Laporan Ketua Audit Negara 2025 Siri 2, yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai, membangkitkan isu Felcra berhubung pajakan dan pembelian empat ladang kelapa sawit bernilai RM241.76 juta tanpa kelulusan sewajarnya Lembaga Pengarah atau semakan pakar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata pihak SPRM mengambil maklum perkara itu.

“SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut selaras dengan subseksyen 29(4) Akta SPRM,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

“SPRM sentiasa komited memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan, dan rasuah ditangani secara tegas serta telus demi memastikan tadbir urus negara berada pada tahap tertinggi, seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam.”

Azalina menjawab soalan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai sama ada SPRM membuka siasatan terhadap Felcra berdasarkan laporan ketua audit negara.

Pada Julai lalu, Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Radzi berkata keputusan Felcra memajak tiga ladang di Kelantan dan membeli satu lagi ladang di Sabah, menunjukkan tadbir urus lemah.

Beliau berkata, terdapat ketakteraturan serius dalam proses perolehan, penilaian harga, prestasi hasil, dan pematuhan kepada resolusi dan perjanjian pihak lembaga.

Wan Suraya menyatakan pemerolehan ladang Telupid bernilai RM62.29 juta di Sabah telah diluluskan walaupun terdapat bantahan ahli Lembaga Pengarah.

Langkah itu diluluskan walaupun laporan kebolehlaksanaan mendapati tanah itu tidak sesuai bagi penanaman kelapa sawit mengambil kira keadaan muka bumi dan tanahnya.

Meskipun Lembaga Pengarah Felcra putus untuk menangguhkan pembelian dan melantik perunding luar, pemerolehan itu telah diluluskan 22 hari kemudian, tanpa perunding berkenaan dilibatkan.

Wan Suraya menyeru Felcra untuk mengukuhkan kawalan dalamannya, mendokumenkan semua keputusan Lembaga Pengarah sewajarnya, dan mematuhi prosedur perolehan ketat dalam pemerolehan tanah pada masa hadapan.

Beliau juga berkata, Felcra mesti mengukuhkan piawaian yang mengawal perolehan bernilai tinggi untuk ‘mengelakkan pembaziran dan memastikan nilai untuk wang’.

Felcra, agensi kerajaan ditubuhkan pada 1966 bermatlamat mengurus, membangun, dan mengoptimumkan tanah pertanian bagi membantu komuniti luar bandar meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.

Ia dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan beroperasi di bawah bidang kuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.