Usia terlalu muda masuk asrama antara punca buli, kata Ahli Parlimen

Usia terlalu muda masuk asrama antara punca buli, kata Ahli Parlimen

Shahidan Kassim berkata perbezaan ketara umur antara junior dan senior di asrama membuka ruang berlakunya gejala buli.

sekolah asrama penuh
Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim mendakwa ada ibu bapa yang mengadu sikap anak mereka berubah sepenuhnya selepas memasuki asrama pada usia terlalu muda. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen mempersoalkan kewajaran murid seawal usia 13 tahun ditempatkan di sekolah berasrama, dengan mendakwa persekitaran hierarki junior-senior di asrama antara punca utama berlakunya budaya buli.

Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata ada ibu bapa mengadu sikap anak mereka berubah sepenuhnya selepas memasuki asrama pada usia terlalu muda, termasuk menjadi pendiam dan tidak lagi seperti sebelum ini.

“Jadi, persoalannya, apakah wajar anak kita masuk ke sekolah berasrama di umurnya terlalu muda, umur 13 tahun. Banyak kawan-kawan saya cerita anaknya pergi asrama umur 13 tahun balik dan jadi manusia lain.

“Mereka tidak bercakap seperti dahulu lagi. Jadi ini kita kena fikirkan,” katanya ketika sesi perbahasan Rang undang-undang (RUU) Anti Buli di Dewan Rakyat.

Katanya, sebahagian besar kes buli berlaku di sekolah berasrama kerana wujudnya perbezaan jelas antara junior dan senior, yang membuka ruang kepada perilaku tersebut.

Sementara itu, Shahidan mencadangkan supaya pelajar diwajibkan menyertai aktiviti seni mempertahankan diri sebagai antara langkah membendung gejala buli, sambil menegaskan bahawa pembentukan rasa hormat antara junior dan senior perlu diperkukuh sejak di sekolah.

Katanya, penguasaan seni bela diri bukan sahaja memberi keyakinan kepada pelajar untuk mempertahankan diri, malah mewujudkan rasa hormat yang mampu mengekang kecenderungan pelajar lain untuk membuli mereka yang dianggap lemah.

Selain diperingkat sekolah, Shahidan menegaskan peranan ibu bapa juga perlu diperluaskan melebihi pagar sekolah, termasuk memupuk tanggungjawab kolektif seperti amalan komuniti terdahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.