
Beliau berkata, OKU tidak lagi patut dilihat sebagai golongan hanya perlu dibantu, sebaliknya sebagai warganegara mampu menyumbang, berkarya dan memimpin apabila diberikan akses serta peluang sewajarnya.
“Pendekatan ini menuntut perubahan cara kita berfikir. Daripada kasihan kepada menghormati, daripada sekadar memberi kepada pemberdayaan, dan daripada bantuan kepada pengiktirafan hak,” katanya berucap pada Majlis Penutup Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini semalam.
Nancy berkata, kerajaan memberi perhatian serius dalam memastikan akses menyeluruh kepada pendidikan, pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan, kemudahan awam mesra OKU serta sokongan komuniti berterusan.
Bagaimanapun, beliau mengakui stigma masyarakat, jurang akses fizikal dan digital di luar bandar, kekurangan data tepat serta tahap kesedaran hak OKU masih rendah, terus menjadi cabaran perlu ditangani bagi memastikan golongan itu tidak terus tersisih daripada peluang dan penyertaan sosial setara.
Menurutnya, antara langkah memperkasakan OKU yang diambil kerajaan termasuk menyemak Pelan Tindakan OKU Negara agar ia selari Akta OKU 2008 dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) serta pembangunan pangkalan data bersepadu MyOKU bagi memastikan intervensi dan bantuan lebih responsif.
Dalam aspek pekerjaan, beliau berkata, pihaknya melaksanakan program Latihan Kesaksamaan Ketidakupayaan (DET) serta khidmat Job Coach bagi meningkatkan penyertaan OKU dalam sektor awam dan swasta.
“Kerajaan juga memperluaskan perkhidmatan serta menambah baik infra sokongan OKU yang merangkumi peruntukan kepada institusi, program bantuan serta penyediaan mobiliti khas.”
Nancy berkata, dengan semangat kerjasama dan kefahaman lebih tinggi terhadap keperluan serta hak OKU, Malaysia mampu menjadi negara yang benar-benar inklusif dengan setiap rakyat dihargai dan diberi ruang untuk menyumbang.
“Saya menyeru masyarakat melihat keupayaan seseorang, bukan kekurangannya. Sokongan inklusif mesti datang daripada semua, kerajaan, swasta dan komuniti.”
Dalam majlis itu, Nancy menyampaikan beberapa anugerah kepada pihak yang menyumbang kepada usaha pemerkasaan OKU serta individu OKU berjaya mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan, sukan dan akademik.
Beliau turut mengiktiraf kecekalan sepasang suami isteri berusia 58 tahun yang membesarkan tiga anak OKU dengan menyampaikan Anugerah Ibu Bapa Mithali.
Abd Aziz Sehat dan isterinya, Roslina Rajudin yang berasal dari Melaka, diberikan anugerah itu kerana berjaya mendidik tiga anak istimewa Muhammad Zikri, 26, Muhammad Zakwan, 25, serta Muhammad Zulhilmi, 19, hingga mereka berdikari dengan memulakan perniagaan kecil-kecilan.
Mengulas mengenai anugerah itu, Aziz berkata, bantuan dan sokongan kerajaan serta masyarakat kepada ibu bapa mempunyai anak OKU menjadi kekuatan buat dirinya dan isteri untuk cekal membesarkan anak mereka.
“Kami dibantu pelbagai pihak, termasuk kerajaan dan badan bukan kerajaan. Sekarang kerajaan juga menyediakan banyak keperluan seperti sekolah bagi anak-anak yang mempunyai keperluan khas.
“Untuk mengurangkan stigma masyarakat, kita perlu beri peluang kepada OKU untuk bersama menjalani kehidupan dengan kita. Janganlah ada perbezaan.”