Bagaimana Singapura bantu pekerja hilang pendapatan akibat AI

Bagaimana Singapura bantu pekerja hilang pendapatan akibat AI

Kerajaan republik itu menggabungkan kemahiran semula bersama sokongan pendapatan bagi memberi ruang kepada mereka yang hilang kerja kembali bangkit.

josephine
Menteri Pembangunan Digital dan Maklumat Singapura, Josephine Teo berkata mereka yang hilang kerja akibat kesan AI akan menerima sehingga SD3,000 sebulan selama dua tahun untuk tingkat kemahiran mengisi pekerjaan baharu. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Singapura sedang menggembleng usaha mempersiap tenaga kerjanya menghadapi impak kecerdasan buatan (AI) yang semakin meningkat, menawarkan sokongan kewangan, dan pilihan latihan semula agar kemahiran mereka tidak lapuk mendepani teknologi itu.

Menteri Pembangunan Digital dan Maklumat Singapura, Josephine Teo berkata pendekatan negara itu menggabungkan latihan semula bersama sokongan pendapatan untuk memberi ruang kepada pekerja kehilangan pekerjaan membina semula kerjaya mereka.

“Bagi mereka berumur 40 tahun ke atas dan hilang pekerjaan, kerajaan bersedia menawarkan subsidi untuk membolehkan mereka melanjutkan kelayakan diploma kedua supaya boleh kembali ke melanjutkan pengajian dan meningkatkan kemahiran mereka.

“Kami faham mereka juga masih perlu membayar bil, menyediakan makanan di meja, dan melunaskan gadai janji.

“Justeru, kami mencipta skim baharu yang membayar golongan itu sehingga SD3,000 setiap bulan selama dua tahun, demi membantu mereka pulih kembali dan meneruskan kerjaya dalam sektor baharu atau yang berkaitan,” katanya dalam temu bual baru-baru ini bersama wartawan Malaysia.

Teo berkata inisiatif dinamakan ‘SkillsFuture Level-Up Programme’ menjadi sebahagian usaha kementeriannya membantu pekerja kekal relevan dalam pasaran kerja masa hadapan.

“Kami mengakui hakikat bahawa mereka mungkin memerlukan kemahiran baharu, dan mungkin terdapat keadaan di mana kemahiran baharu ini tidak boleh diperoleh melalui kursus jangka pendek, dan mereka benar-benar perlu meluangkan masa lebih lama untuk memberikan peningkatan baharu terhadap kerjaya mereka.”

Beliau berkata, syarikat mungkin mengurangkan saiz atas pelbagai sebab, sama ada untuk meningkatkan kecekapan atau disebabkan oleh keadaan perniagaan yang tidak menggalakkan.

Katanya, pihak syarikat mungkin mengurangkan saiz atas pelbagai sebab sama ada bagi meningkatkan kecekapan atau didorong keadaan perniagaan tidak menggalakkan.

Namun, kementeriannya tidak menolak kemungkinan AI mungkin memberi kesan terhadap pekerjaan dan kerajaan Singapura mahu menangani perkara tersebut dengan membolehkan tenaga kerja meningkatkan kemahiran untuk kekal relevan.

Teo berkata, contohnya AI akan dapat melakukan banyak kerja asas seorang akauntan. Walaupun langkah itu mungkin menjejaskan pekerjaan perakaunan, ia juga memberikan peluang kepada akauntan beralih kepada disiplin lain seperti forensik digital.

“Kita juga mendapati ramai individu mendaftar untuk latihan keselamatan siber kerana ia relevan dan berguna dipelajari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.