Bung dikenang sebagai wakil rakyat ‘berwarna-warni’, lantang

Bung dikenang sebagai wakil rakyat ‘berwarna-warni’, lantang

Ahli Parlimen dari pelbagai parti beri penghormatan kepada Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Bung Moktar Radin mewakili rakyat Kinabatangan selama enam penggal di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli politik pelbagai parti memberikan penghormatan dan takziah atas pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen dari PKR menggambarkan ketua Umno Sabah itu sebagai seorang wakil rakyat yang kontroversi dan ‘berwarna-warni’ di khalayak namun secara peribadi seorang yang ‘baik hati dan mesra’.

“Beliau sentiasa mempunyai sinar pada mata, dan jenakanya tajam dan lucu. Saya akan merinduinya sebagai watak yang luar biasa di Parlimen,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis dari Warisan berkata Bung yang tempat duduknya di Dewan Rakyat di hadapan beliau akan menegurnya dengan mesra.

“Parlimen tidak akan sama lagi tanpa kehadiran beliau, tanpa ketegasan beliau, tanpa suara beliau. Selamanya seorang lagenda, Bung Moktar Radin,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP turut memberikan penghormatan: “Sedih apabila dapat tahu anda meninggalkan dunia ini secara tiba-tiba. Semoga roh anda bersemadi dengan aman di sisi Pencipta.”

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenang Bung sebagai seorang tokoh yang tegas, berpendirian, dan lantang.

“Jasa serta komitmen beliau dalam arena politik, khususnya terhadap rakyat Sabah dan negara, akan terus dihargai dan terpahat dalam ingatan,” katanya di platform X.

Presiden Warisan, Shafie Apdal, berkata mereka berkongsi sejarah sejak dalam Pemuda Umno Sabah pada 1990-an.

“Banyak kenangan dan pengalaman yang kami kongsi sepanjang perjalanan politik yang panjang,” katanya di Facebook.

Bung meninggal dunia di Kota Kinabalu, Sabah, pada 1.46 pagi. Beliau baru sahaja mempertahankan DUN Lamag dengan majoriti tipis hanya 153 undi pada PRN Sabah minggu lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.