Kabinet setuju Takiyuddin dirujuk ke jawatankuasa Parlimen

Kabinet setuju Takiyuddin dirujuk ke jawatankuasa Parlimen

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata keputusan dibuat bagi tujuan penelitian selanjutnya selaras peraturan Dewan.

Takiyuddin Hassan
Usul dibentangkan di Dewan Rakyat semalam bagi menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan enam bulan berhubung kenyataan dikaitkan dengan Memali susulan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jemaah Menteri bersetuju Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan peristiwa Memali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata keputusan itu dibuat bagi tujuan penelitian selanjutnya selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sejajar dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan dan untuk memastikan bahawa Ahli Parlimen juga diberikan ruang untuk didengar dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta membolehkan sebarang dapatan dibuat Jawatankuasa tersebut yang mempunyai mandat khusus di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Azalina berkata, kerajaan percaya bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian dengan penuh tanggungjawab, kebebasan, dan integriti selaras peranan diamanahkan Dewan.

“Kerajaan Madani juga kekal komited untuk memelihara kewibawaan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, di samping memastikan bahawa isu-isu berbangkit ditangani berlandaskan kerangka demokrasi berparlimen,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat menangguhkan usul untuk menggantung Takiyuddin kerana mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan latihan agensi tersebut dengan peristiwa Memali.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata permohonan untuk menangguhkan usul itu dibuat selepas mendengar hujah daripada Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

Sebelum penangguhan dibuat, seramai empat Ahli Parlimen berbahas usul menggantung Takiyuddin selama enam bulan. Mereka ialah Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin; Takiyuddin; Syahredzan Johan (PH-Bangi), dan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).

Takiyuddin, yang juga ketua whip Perikatan Nasional (PN) memohon supaya usul itu dipinda dengan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.