Pengerusi FMT terima anugerah ikon perniagaan Nambikkai

Pengerusi FMT terima anugerah ikon perniagaan Nambikkai

Anugerah itu bagi menghargai kepimpinan Pengerusi Eksekutif FMT Nelson Fernandez dalam membina platform berita digital paling dipercayai di Malaysia.

Nelson Fernandez
Pengerusi Eksekutif FMT Nelson Fernandez berkata kejayaan FMT adalah hasil kerja berpasukan kakitangan yang bertungkus lumus di belakang tabir.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Eksekutif FMT Media Sdn Bhd, Nelson Fernandez, menerima anugerah ikon perniagaan Nambikkai, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinannya dalam membangunkan antara platform berita digital paling dipercayai di Malaysia.

Fernandez menerima anugerah itu bawah kategori ‘portal berita dalam talian popular’ pada International Business Icon Awards (IBIA) 2025 di Pusat Konvensyen Bank Rakyat, di sini, malam tadi.

Penganjur, Nambikkai Sdn Bhd, berkata ini merupakan edisi keempat IBIA, sebuah platform global berprestij yang menghargai kepimpinan luar biasa, inovasi perintis dan tanggungjawab sosial.

Katanya, anugerah itu menghimpunkan usahawan berpandangan jauh dan tokoh industri dari seluruh dunia, mengiktiraf kisah kejayaan yang memberi inspirasi kepada pertumbuhan, mengukuhkan hubungan antarabangsa, dan memacu kemajuan transformasi merentas semua sektor.

Nambikkai berkata, Fernandez dipilih untuk menerima anugerah itu selepas melalui proses penilaian teliti, dan dedikasi cemerlang beliau dalam memajukan kecemerlangan korporat serta pembangunan komuniti.

“Pandangan strategiknya serta komitmen beliau untuk mengimbangi keuntungan dengan keprihatinan terhadap alam sekitar telah meletakkan FMT sebagai perintis sebenar dalam komuniti perniagaan,” katanya.

Menurut Nambikkai, FMT berkembang di bawah kepimpinan Fernandez menjadi salah satu platform berita digital paling dipercayai, dinamik dan paling meluas diakses di Malaysia.

“Komitmennya terhadap penyampaian laporan yang cepat, tepat dan seimbang telah mengukuhkan kedudukan FMT sebagai sumber maklumat yang boleh dipercayai oleh rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.”

Fernandez berkata, beliau amat berbesar hati dijemput ke acara itu dan diberikan anugerah tersebut, sambil menyatakan penghargaan mendalam kepada Nambikkai atas pengiktirafan tersebut.

Beliau turut mengimbau perjalanan FMT daripada sebuah blog berita pada 2014 kepada sumber berita Malaysia yang dipercayai, bukan sahaja di dalam negara tetapi kini semakin mendapat perhatian antarabangsa.

“Malam ini, saya ingin memberikan penghormatan kepada setiap ahli pasukan FMT yang bekerja bertungkus-lumus di belakang tabir. Usaha tekun mereka setiap hari tanpa gagal menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan kami yang luar biasa.

“Malam ini, saya semat setiap seorang daripada mereka dalam hati saya,” kata Fernandez.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.