Putrajaya terus bincang dengan kerajaan Terengganu, Felda

Putrajaya terus bincang dengan kerajaan Terengganu, Felda

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata buat masa ini, tiada perbincangan antara kerajaan negeri dan Jemaah Menteri berhubung isu pertikaian 10 ladang Felda dan FGV di Terengganu.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata keperluan perbincangan itu disetujui semua pihak dalam mesyuarat Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Kerajaan Terengganu Zulkifli Ali, semalam. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan persekutuan akan meneruskan perbincangan bersama wakil kerajaan Terengganu serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mencari penyelesaian dalam isu pertikaian 10 ladang Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV) di negeri itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap kerajaan berkata keperluan perbincangan itu disetujui semua pihak dalam mesyuarat Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Zulkifli Ali, semalam.

“Jadi, kita turuti proses itu sebelum kita buat apa-apa keputusan. Mungkin pada mesyuarat Jemaah Menteri akan datang, ada beberapa perkara yang akan dibangkitkan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim), tetapi setakat petang semalam pertemuan tersebut telah berlangsung dan perbincangan akan diteruskan.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall, di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, buat masa ini, tiada perbincangan melibatkan kerajaan negeri dan Jemaah Menteri berhubung perkara berkenaan.

Ahad lalu, kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu, selepas mendakwa lebih 40 tahun tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan.

Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.