
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata wanita berusia 69 tahun itu juga akan menjalani pemeriksaan fizikal dan mental bagi mengetahui tahap kesihatannya.
“Tindakan telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih elok ditempatkan di rumah tersebut sebab kini dia keseorangan selepas kematian anak yang menjaganya,” katanya menurut Bernama ketika ditemui di Kampung Budaya Sarawak, Santubong.
Semalam, media melaporkan seorang wanita warga emas cacat penglihatan terpaksa merangkak kira-kira 150 meter untuk mendapatkan bantuan selepas beberapa hari tinggal bersama mayat anak perempuannya di sebuah pondok di Jalan Kampung Telok Sabang, Kota Samarahan.
Ketua Polis Kota Samarahan, Damataries Lautin, dilaporkan berkata warga emas berkenaan menyedari anaknya berusia 48 tahun meninggal dunia pada 30 Nov, selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas.
Namun, warga emas itu tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah bau mayat anaknya yang semakin kuat terhidu memaksanya keluar merangkak mencari pertolongan.
Sementara itu, Nancy menyeru kepada semua ketua masyarakat agar mengambil peduli perihal masyarakat terutamanya di kawasan kampung bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
“(Peranan ketua masyarakat) ini membolehkan penduduk kampung mendapatkan maklumat tepat mengenai pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan melalui saluran yang betul khususnya JKM,” katanya.