Azmin silap tafsir punca kekalahan besar DAP Sabah, kata penganalisis

Azmin silap tafsir punca kekalahan besar DAP Sabah, kata penganalisis

Bilcher Bala berkata keputusan itu menunjukkan penolakan terhadap pihak yang gagal memperjuangkan hak Sabah, bukannya tuntutan pembaharuan politik dan ekonomi.

Penganalisis politik Bilcher Bala, Johan Ariffin Samad dan Lee Kuok Tiung berbeza pandangan mengenai keputusan PRN Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berpendapat Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali, tersasar apabila menganggap kekalahan teruk DAP pada PRN Sabah sebagai bukti parti itu ditolak sepenuhnya oleh komuniti Cina dan komuniti perniagaan di negeri itu.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata penolakan pengundi Cina Sabah terhadap DAP lebih berkait dengan rasa kecewa terhadap parti-parti yang gagal memperjuangkan hak dan kepentingan negeri itu.

Menurutnya, rakyat Sabah lebih menumpukan kepada parti yang mampu membela isu tempatan dan hak negeri, berbanding agenda reformasi di peringkat nasional.

Beliau berkata Azmin tersilap tafsir sentimen pengundi Sabah apabila mendakwa kekalahan DAP berpunca daripada kegagalan Putrajaya melaksanakan pembaharuan.

“Kesimpulannya tidak tepat kerana ia mengabaikan faktor tempatan yang menjadi penentu corak pengundian Sabah.

“Ia juga mengetepikan realiti politik Sabah yang lebih kompleks,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, Azmin mendakwa keputusan pilihan raya negeri Sabah menunjukkan komuniti perniagaan Cina menolak DAP dan Pakatan Harapan (PH), serta menyifatkannya sebagai isyarat kepada tuntutan perubahan politik serta ekonomi.

DAP yang tewas di semua lapan kerusi berkata parti itu akan mendapatkan maklum balas pengundi dan bekerjasama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mempercepat agenda reformasi di peringkat Persekutuan.

Pertembungan sebenar: GRS lawan Warisan

Aktivis Sabah Johan Ariffin Samad, berkata pilihan raya itu pada hakikatnya hanyalah persaingan antara dua parti tempatan — Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

Parti dari Semenanjung seperti PH, PN dan Barisan Nasional (BN) sekadar menjadi mangsa keadaan dalam pertembungan dua gergasi tempatan itu, katanya.

Beliau berkata ahli politik pembangkang di Semenanjung cuba menunggang keputusan itu dengan menggambarkannya sebagai penolakan terhadap Anwar dan PH, serta bayangan keputusan pilihan raya umum akan datang.

Namun bagi Johan, analisis sedemikian keterlaluan kerana sejak awal lagi pertarungan sebenar hanya antara GRS dan Warisan.

Johan dan Bilcher sama-sama menegaskan parti Semenanjung perlu lebih memahami politik Sabah, terutama keutamaan rakyat terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kalau MA63 pun mereka tidak faham, bagaimana mereka mahu memahami masyarakat Sabah?” kata Johan.

Pandangan Azmin ada asas

Namun seorang lagi penganalisis dari UMS, Lee Kuok Tiung pula berpandangan kenyataan Azmin itu juga mempunyai asas.

Katanya, penolakan pengundi Cina Sabah terhadap DAP dan PH berpunca daripada gabungan sentimen Sabah yang kuat dan rasa kecewa terhadap isu seperti kos sara hidup, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), serta beberapa janji reformasi lama yang tidak ditunaikan.

Namun Lee berkata isu tuntutan Sabah terhadap 40% hasil Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu masih baharu memuncak, dan beberapa pemimpin Semenanjung dilihat memperlekeh tuntutan berkenaan.

“Apabila isu ini disatukan dengan tuntutan autonomi Sabah yang lain — termasuk kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan — ia mencetus undi protes untuk ‘mengajar’ parti-parti nasional,” katanya.

Lee menambah PH perlu menilai semula kepimpinan dan hala tuju janjinya kepada rakyat kerana jika tidak, parti itu berisiko menerima nasib sama seperti BN yang terus merosot sejak PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.