
Presidennya, Syed Hussain Syed Husman, berkata gaji lebih tinggi biasanya ditawarkan dalam sektor permintaan tinggi seperti teknologi, kejuruteraan, kewangan dan penjagaan kesihatan manakala sektor yang bergantung kepada tenaga buruh buruh dan perniagaan kecil beroperasi dengan margin lebih ketat.

Katanya, gaji permulaan untuk graduan baharu tidak boleh disamaratakan kepada satu penanda aras seperti gaji minimum RM1,700 kerana majikan perlu mempertimbangkan pelbagai faktor.
Majikan juga bersedia membayar lebih jika graduan dapat menunjukkan mereka bersedia bekerja dan mampu menyumbang dengan segera.
Syed Hussain mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada Isnin bahawa gaji minimum RM1,700 adalah jaringan keselamatan untuk kerja asas berkemahiran rendah dan ‘bukan gaji permulaan’ untuk graduan baharu.
Beliau berkata gaji seseorang seharusnya dikaitkan dengan produktiviti, kemahiran dan nilai yang dihasilkan, sementara struktur gaji graduan perlu mencerminkan kerumitan tugas, kecekapan yang diperlukan, keadaan sektor dan tahap kesihatan kewangan majikan.
“Graduan baharu tidak diambil bekerja berdasarkan pertimbangan gaji minimum, tetapi mengikut tahap produktiviti yang dijangka serta kos untuk melatih mereka bagi tugas tersebut,” katanya, sambil menambah bahawa majikan turut berdepan kos pematuhan dan operasi yang lebih tinggi serta margin keuntungan yang tipis.

Ahli ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng, berkata lambakan graduan dalam beberapa bidang, bersama produktiviti rendah dan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah, terus menekan paras gaji, dengan banyak syarikat tidak mampu menaikkan gaji jauh melebihi paras minimum yang ditetapkan.
“Gaji minimum menetapkan lantai dan jika terdapat lebih ramai pencari kerja berbanding peluang pekerjaan yang ada, maka majikan mempunyai kuasa tawar-menawar lebih kuat untuk mengambil pekerja yang tidak terlalu menuntut dari segi gaji.”
Yeah berkata banyak faktor menyumbang kepada pertumbuhan gaji yang mendatar, termasuk aktiviti bernilai tambah rendah dalam rantaian nilai global, ketidakpadanan kemahiran, kebergantungan tinggi kepada pekerja asing berkemahiran rendah serta kelaziman PKS yang beroperasi dengan margin tipis.
“Gaji yang rendah ditambah dengan peningkatan kos sara hidup turut menyebabkan pekerja tidak dapat memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran, sekali gus mewujudkan kitaran tidak berkesudahan,” katanya.