Penahanan kanak-kanak bercanggah konvensyen PBB, kata Suhakam

Penahanan kanak-kanak bercanggah konvensyen PBB, kata Suhakam

Lebih 2,000 kanak-kanak kini ditahan di depot imigresen, menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 2 Dis.

tahanan imigresen
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Farah Nini Dusuki berkata anak kecil tidak sepatutnya ditahan.
PETALING JAYA:
Penahanan kanak-kanak hanya boleh sebagai pilihan terakhir. Itu peringatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kepada kerajaan susulan data terbaharu menunjukkan lebih 2,000 kanak-kanak ditempatkan di depot imigresen.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Farah Nini Dusuki berkata amalan itu bercanggah dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC), yang telah diratifikasi Malaysia.

Farah Nini Dusuki.

Beliau berkata menurut perjanjian itu, penahanan kanak-kanak mesti ‘dalam tempoh sesingkat mungkin’ dan hanya apabila benar-benar perlu.

“(Penahanan) tidak selari dengan tanggungjawab kita untuk melindungi kanak-kanak.

“Penahanan mereka di tempat tertutup dan sesak, ada yang bersama orang dewasa, boleh menjejaskan keselamatan, perkembangan mental dan tumbesaran mereka,” katanya kepada FMT.

Data rasmi menunjukkan 2,196 kanak-kanak ditahan di depot sehingga 31 Ogos, iaitu sebahagian daripada 20,143 pendatang tanpa dokumen yang ditahan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 2 Dis.

Hanya 273 wanita dan kanak-kanak dipindahkan ke pusat Baitul Mahabbah.

Farah berkata Suhakam pernah melihat remaja lelaki berusia 12 hingga 17 tahun ditempatkan bersama lelaki dewasa, yang melanggar konvensyen kanak-kanak dan peraturan PBB mengenai penahanan.

Beliau berkata keadaan di depot juga tidak memenuhi piawaian antarabangsa.

Pemeriksaan mendapati berlaku kesesakan, kelewatan mendapatkan rawatan kesihatan, kebersihan tidak memuaskan serta ketiadaan ruang sesuai untuk pembelajaran atau aktiviti bermain.

Amnani A Kadir
Amnani A Kadir.

Aktivis kanak-kanak, Amnani A Kadir berkata persekitaran itu tidak selamat untuk golongan terbabit.

“Apa sahaja boleh berlaku kepada seorang kanak-kanak di dalam bilik sesak bersama orang dewasa tanpa pengawasan.

“Malaysia perlu menghentikan amalan menempatkan kanak-kanak di depot dan mengalihkan fungsi perlindungan kanak-kanak kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, bukannya imigresen,” katanya.

Amnani berkata kakitangan di pusat itu juga diragui sama ada mempunyai kemahiran menguruskan dan menjaga kebajikan kanak-kanak.

Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan membuat saringan bagi mengesan tanda penderaan, kecacatan, kekurangan zat makanan atau penyakit.

Farah dan Amnani turut menggesa pertubuhan swasta dan kumpulan hak kanak-kanak diberi akses penuh untuk memeriksa depot.

Suhakam turut sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari alternatif sebenar berbanding tahanan, menurut Farah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.