
MIDF dalam laporan tematik ‘penjagaan kesihatan Malaysia’ diterbitkan Ogos lalu, meletakkan negara ini sebagai hab utama pelancongan perubatan berasaskan nilai yang menawarkan kos berdaya saing, perkhidmatan berkualiti dan teknologi moden pada kadar mampu dibayar.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata tarikan Malaysia terletak pada hospital swasta bertaraf antarabangsa dan jenama penjagaan kesihatan dipercayai.
Menurutnya, keadaan terbabit memberi keyakinan kepada pesakit yang harga mampu dibayar itu tidak merisikokan kesihatan atau keberkesanan rawatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) Suriaghandi Suppiah pula berkata Malaysia menarik pesakit dari seluruh dunia kerana hasil rawatan berkualiti tinggi konsisten dan penjagaan memuaskan selain disokong peralatan diagnostik serta pembedahan berteknologi tinggi termasuk robotik.
Reputasi semakin berkembang
Reputasi Malaysia dalam industri pelancongan perubatan meningkat ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Awal tahun ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dipetik berkata Malaysia berada di kedudukan pertama di dunia.
Kuljit berkata pesakit asing senang dengan tenaga kerja tempatan yang berkeupayaan berbahasa Inggeris dan Mandarin serta penyediaan pusat pesakit antarabangsa yang memudahkan proses kemasukan, rawatan dan discaj.
Beliau berkata ciri-ciri itu memberikan pengalaman rawatan lancar ‘sebaik pesakit tiba sehingga mereka dibenarkan pulang’, menjadikan Malaysia lebih menonjol berbanding pesaing lain.
Reputasi Malaysia di peringkat global dijangka terus meningkat menurut Suriaghandi, menerusi Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 (MYMT 2026) dilancarkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Kos berpatutan
Kos rawatan berpatutan kekal sebagai nilai jualan utama Malaysia.
Menurut MIDF, rawatan di Malaysia ‘30% hingga 50%’ lebih murah berbanding negara Barat’ manakala Laporan Pelancongan Perubatan Alvarez & Marsal menunjukkan prosedur perubatan di negara in kekal lebih rendah daripada penanda aras serantau.
Dengan hasil klinikal yang kukuh serta masa menunggu lebih singkat, Malaysia muncul antara destinasi paling kompetitif di Asia untuk pembedahan utama, diagnostik serta rawatan khusus.
Indonesia sebagai pasaran utama
Dengan sumbangan sekitar 65%, pelawat dari Indonesia menjadi kumpulan terbesar dalam pasaran pelancongan perubatan Malaysia menurut MIDF, didorong kepercayaan, keserasian budaya dan kemudahan akses.
Kuljit berkata pesakit Indonesia menghargai ‘persamaan bahasa, rawatan patuh syariah, proses hospital yang pantas, serta keyakinan terhadap doktor dan jururawat terlatih di Malaysia’, menjadikan hospital Malaysia pilihan yang lebih cepat dan boleh diharap.
Faktor budaya turut meningkatkan tarikan Malaysia. Alvarez & Marsal menyatakan persamaan bahasa, majoriti penduduk Muslim dan pilihan makanan halal membantu mengurangkan kerisauan pesakit.
Kuljit berkata pesakit Muslim dari Indonesia dan Timur Tengah juga kerap menilai kemudahan surau, doktor wanita dan perkhidmatan reproduktif berlandaskan syariah sebagai faktor penting.
Pada masa sama, ramai rakyat Singapura datang ke Malaysia untuk pemeriksaan kesihatan dan diagnostik yang lebih mampu milik, terutamanya hospital berhampiran pusat pemeriksaan Tuas.
Beliau turut berkata keupayaan rakyat Malaysia berbahasa Mandarin menarik minat pelawat dari China.
Suriaghandi berkata wujud potensi besar untuk mengembangkan pasaran sedia ada serta menembusi pasaran baharu seperti Myanmar, Kemboja, Timur Tengah, Australia, United Kingdom dan beberapa negara Afrika.
Kekuatan kepakaran rawatan
Kepakaran dalam pelbagai disiplin menjadi satu lagi kekuatan Malaysia. Laporan Alvarez & Marsal mengenal pasti Malaysia sebagai destinasi penting bagi rawatan onkologi, kardiologi dan neurologi atau pengurusan kesakitan — tiga bidang utama dalam pelancongan perubatan.
Kuljit berkata kardiologi, ortopedik, pemeriksaan kesihatan dan pembedahan kosmetik antara perkhidmatan paling mendapat permintaan, dengan rundingan, imbasan dan rawatan tersedia dalam satu fasiliti.
MIDF turut menyatakan hospital di Malaysia beroperasi dengan ‘teknologi bertaraf dunia’ dan memiliki pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dan Malaysia Society For Quality in Health (MSQH)
Meningkatkan kepuasan pesakit
Malaysia juga menumpukan aspek perkhidmatan yang sering menjadi cabaran di negara lain.
Kuljit berkata, hospital kini menyediakan ‘fasilitasi menyeluruh, laluan pantas, koordinasi dan pusat pesakit antarabangsa khusus’, sekali gus meningkatkan kepuasan pengalaman pesakit secara ketara.
Pakej perubatan bersepadu merangkumi penginapan, sokongan pemulihan dan aktiviti kesejahteraan, termasuk perubatan tradisional dan pelengkap yang diiktiraf menambahkan lagi daya tarikan sedia ada.
Meningkatkan skala
Suriaghandi berkata pendekatan ‘seluruh negara’ boleh membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan supaya lebih.
Sehubungan itu, beliau menggesa proses visa perubatan dipermudah, lebih banyak penerbangan antarabangsa terus diwujudkan, peraturan diperkemas untuk mempromosikan perkhidmatan pakar di luar negara dan pelaburan lebih besar dalam pemasaran global.
MIDF menjangkakan lebih 1.3 juta kedatangan pelancong kesihatan pada 2025 menerusi momentum yang terus meningkat disokong peluasan agresif sektor swasta.
KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) seperti contoh merancang meningkatkan kapasiti katil daripada 3,733 kepada 5,000 menjelang 2028, manakala Sunway Healthcare menyasarkan lebih 3,000 katil menjelang 2030.
Peluasan ini membuka ruang Malaysia bergerak ke perkhidmatan kuaternari bernilai tinggi termasuk pembedahan berasaskan robotik, rawatan onkologi termaju, pemindahan organ dan prosedur jantung kompleks.
Usaha itu dijangka membolehkan Malaysia menerima hasil mencecah RM3 bilion tahun ini.
Negara ini juga bukan sahaja mampu pengaruhnya di Asia, tetapi juga menjadi pesaing utama dalam senarai destinasi pelancongan perubatan terkemuka dunia berdasarkan kekuatan ada padanya.
Kekuatan itu adalah gabungan kos berpatutan, keserasian budaya, teknologi canggih dan perkhidmatan berpusatkan pesakit.