Pegawai AKPS direman, disyaki terbabit aktiviti ‘pasport terbang’

Pegawai AKPS direman, disyaki terbabit aktiviti ‘pasport terbang’

Pegawai bertugas di kaunter MyBorderPass itu tidak menyerahkan telefon bimbitnya di kaunter penyelia.

Lapan pasport warga asing ditemui dalam sebuah beg hitam disimpan di ruang penyimpanan barang motosikal milik pegawai AKPS yang ditahan itu. (Gambar AKPS BSI)
JOHOR BAHRU:
Seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) direman empat hari bermula hari ini selepas dipercayai cuba melakukan aktiviti pasport terbang di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, semalam.

Komander AKPS BSI, Roszita Dim, berkata kejadian berlaku pada 11.30 pagi apabila sepasukan pegawai Unit Integriti melakukan pemantauan di Dewan Penumpang Masuk BSI dan memeriksa pegawai itu yang bertugas di kaunter MyBorderPass.

“Pemeriksaan mendapati pegawai lelaki berusia 32 tahun itu membawa dan menyimpan dua telefon bimbit semasa bertugas serta tidak membuat tindakan serah terima telefon bimbit di kaunter penyelia sebelum itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pegawai itu gagal mematuhi Arahan Pentadbiran Bil.01 2024, iaitu tatacara dan prosedur membawa, menyimpan atau menggunakan alat telekomunikasi semasa bertugas.

Menurutnya, siasatan seterusnya membawa kepada penemuan lapan pasport warga asing, iaitu enam China serta masing-masing satu Indonesia dan Vietnam.

“Pasport itu ditemui dalam sebuah beg hitam disimpan di ruang penyimpanan barang motosikal Honda Vario milik pegawai itu diparkir di BSI.”

Roszita berkata, pegawai itu direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dengan semua pasport, motosikal dan telefon bimbit terbabit dirampas.

Pegawai AKPS di semua pintu masuk negara diingatkan mematuhi arahan integriti jabatan dan tidak berkompromi dengan mereka yang ingkar perintah serta menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.