Pemandu maut, 3 cedera ambulans terbabas di Kluang

Pemandu maut, 3 cedera ambulans terbabas di Kluang

Mangsa yang cedera termasuk dua jururawat dan seorang pesakit wanita.

Bomba berkata pemandu ambulans berusia 43 tahun itu maut selepas tercampak keluar dari kenderaan itu. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu ambulans maut manakala dua jururawat dan seorang pesakit wanita cedera selepas kenderaan itu terbabas di KM59.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kluang, Johor.

Komander Operasi Balai Bomba Simpang Renggam, M Nasir A Shah berkata, sebuah jentera bersama enam anggota bergegas ke lokasi kemalangan yang berlaku kira-kira 1.10 tengah hari tadi.

“Hasil pemantauan mendapati pemandu dan seorang penumpang hadapan tercampak keluar dari ambulans, manakala dua lagi mangsa yang berada di ruangan belakang tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, anggota bomba segera mengalihkan mangsa-mangsa yang cedera ke kawasan selamat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu ambulans berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.