
Dalam kenyataan hari ini, War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris disampaikan pada 9 Dis, dan kerajaan menerima penghakiman rasmi berkenaan pada awal pagi tadi.
Mahkamah mendapati Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Award Akhir’ itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.
“Sehubungan itu, mahkamah membatalkan sepenuhnya keputusan yang didakwa sebagai ‘Award Akhir’ yang dikeluarkan oleh penimbang tara.
“Malaysia yakin kemenangan ini akan menamatkan semua cubaan tidak berasas daripada penuntut Sulu (serta pembiaya litigasi mereka, Therium) untuk memeras wang dan aset daripada rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus mempertahankan dirinya dengan tegas terhadap sebarang tindakan undang-undang selanjutnya yang difailkan oleh penuntut Sulu.
Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini telah menolak pengiktirafan dan pelaksanaan ‘Partial Award’ pada 6 Jun 2023, dan Mahkamah Agung Perancis mengekalkan keputusan tersebut pada 6 Nov 2024.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia terus berkomitmen mempertahankan kedaulatan, imuniti dan kepentingan negara daripada tuntutan tidak berasas ini.
Sebelum ini, lapan warganegara Filipina yang mendakwa waris Kesultanan Sulu yang telah pupus memulakan prosiding timbang tara di Sepanyol, menuntut pampasan berjumlah berbilion terhadap Malaysia berhubung Sabah.
Pada Mac 2019, sebuah mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes tersebut.
Pada 28 Feb 2022, Stampa mengeluarkan ‘Award Akhir’ berjumlah USD14.9 bilion memihak penuntut, melalui proses timbang tara yang tidak sah kerana pelantikannya dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol.