SPRM mohon lucut hak harta keluarga Daim

SPRM mohon lucut hak harta keluarga Daim

Dalam pada itu keluarga Daim Zainuddin mendapat perintah larangan bersuara sementara agar butiran identiti responden dan harta dimaksudkan tidak didedah.

macc sprm
SPRM mahu melucut hak harta keluarga Daim Zainuddin mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM kerana gagal mematuhi notis mengisytiharkan harta.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi melucut hak harta keluarga bekas menteri kewangan, Allahyarham Daim Zainuddin.

Dalam pada itu, keluarga Daim mendapat perintah larangan bersuara sementara supaya butiran identiti pihak dinamakan sebagai responden dan harta berkenaan tidak didedahkan.

Permohonan larangan bersuara juga tidak dibantah Pendakwa Raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya M Esther Jacyntha, lapor Berita Harian.

Pada prosiding itu, peguam Nizamuddin Abdul Hamid mewakili responden bahawa pihaknya akan memohon perintah larangan terhadap pendedahan maklumat sensitif yang boleh menjejaskan anak guamnya.

Beliau berkata, perintah berkenaan membabitkan larangan menyiarkan nama individu, nombor akaun bank, dan maklumat lain yang bersifat peribadi.

“Maklumat terbabit tidak boleh didedahkan, bukan mengenai prosiding, tetapi membabitkan hak peribadi anak guam berkaitan maklumat sensitif,” kata laporan itu.

Melalui notis permohonan difailkan pada 28 Nov, pendakwa raya memohon perintah mahkamah untuk melucut hak harta tersebut.

Pendakwaan turut memohon perintah untuk disiarkan dalam warta mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM bagi memanggil mana-mana orang yang mempunyai kepentingan terhadap harta berkenaan untuk hadir mahkamah.

Pihak berkepentingan itu hendaklah menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak patut dilucut hak dan seterusnya memohon mahkamah melucut hak harta itu mengikut Seksyen 41(3) akta sama.

Permohonan itu juga menyatakan, pendakwa raya di bawah kuasa yang diberi mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah telah berpuas hati bahawa harta itu yang telah disita oleh SPRM, dilucut hak, di mana tiada pendakwaan jenayah atas suatu kesalahan di bawah akta berkenaan.

Ia juga menyatakan bahawa harta terbabit adalah berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM (gagal mematuhi notis mengisytiharkan harta).

Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan permohonan perintah larangan bersuara dan menetapkan 4 Feb ini untuk prosiding untuk pihak ketiga yang berkepentingan hadir ke mahkamah.

Sementara itu, Nizamuddin dalam kenyataan media, berkata seperti permohonan sebelum ini, ia juga tidak menyatakan kesalahan yang didakwa dilakukan mengikut Akta SPRM atau mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan, melainkan tuduhan berkaitan pematuhan tatacara siasatan di bawah Seksyen 36.

Nizamuddin berkata, siasatan terhadap keluarga Daim dimulakan oleh pihak berkuasa sejak Februari 2023 dan kini setelah hampir tiga tahun, masih tiada sebarang jawapan di sebalik semua usaha anak guamnya untuk mendapatkan penjelasan terbuka.

Beliau menekankan mengenai kegagalan dan salah guna kuasa secara berterusan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai pematuhan terhadap kedaulatan undang-undang.

“SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan perlu menjalankan kuasa mengikut kedaulatan undang-undang dan tidak terus menindas anak guam kami. Anak guam kami berharap mereka tidak terus menjadi sasaran salah guna kuasa oleh badan penguatkuasaan apabila isu yang membabitkan kerajaan timbul.

“Anak guam kami percaya sebarang salah guna kuasa atau tindakan untuk mengalih perhatian rakyat Malaysia daripada isu sebenar kepimpinan negara adalah satu pembaziran wang rakyat, masa penjawat awam dan juga mahkamah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.