Kerajaan sedia kaji semula, beri ruang kebebasan media lebih terbuka

Kerajaan sedia kaji semula, beri ruang kebebasan media lebih terbuka

Perbincangan akan diadakan dengan menteri komunikasi bagi memperincikan cadangan kajian semula undang-undang berkaitan.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata ruang kebebasan media harus lebih terbuka selaras kematangan negara.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bersedia memberikan ruang kebebasan media yang lebih terbuka termasuk mempertimbangkan kajian semula undang-undang berkaitan, selaras kematangan negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau berkata kebebasan itu tidak bersifat mutlak bagi mengelakkan penyebaran fitnah serta sebarang bentuk provokasi melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Saya setuju kita beri kebebasan kerana negara kian matang. Sekarang negara sudah merdeka, bebas, jadi kita harus beri ruang… negara mesti maju dengan peredaran masa.

“Harus beri ruang lebih terbuka, orang boleh tegur, boleh beri pandangan, tetapi mesti ada juga satu ruang yang kecelaruan itu ataupun keterlanjuran itu juga dibetulkan,” kata beliau pada sesi dialog di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).

Beliau berkata perbincangan lanjut akan diadakan dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagi memperincikan cadangan kajian semula undang-undang berkaitan.

Anwar menjawab soalan pelajar berhubung kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula atau memansuhkan undang-undang media sedia ada bagi mengelakkan pertindihan peraturan, sekali gus memperkukuh peranan Majlis Media Malaysia.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini secara prinsip bersetuju memperkasakan profesionalisme kewartawanan melalui penubuhan majlis itu sebagai badan kawal selia kendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.