
Menjawab soalan sama ada graduan kelas pertama daripada universiti swasta juga boleh menerima pengecualian pinjaman PTPTN, Anwar berkata perkara itu sedang dipertimbangkan, namun isu mendesak yang melibatkan golongan kurang berkemampuan perlu ditangani terlebih dahulu.
Beliau juga berkata PTPTN kini dibebani dengan pinjaman yang tidak dibayar berjumlah RM10 bilion.
“Pendidikan sepatutnya semurah mungkin. Kalau boleh berikan kemudahan kepada semua yang perlukan bantuan.
“Tetapi kita lihat tanggungjawab sudah sampai puluhan bilion hutang,” katanya pada program ‘Temu Anwar’ di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di Setapak.
Anwar berkata kerajaan menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar termiskin, bermula dengan 5,000 penerima dan diperluaskan kepada 10,000. Beliau menambah perbincangan dengan Kementerian Kewangan sedang dijalankan bagi meningkatkan bantuan tersebut.
Disember lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi berkata ia sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan pengecualian pinjaman PTPTN kepada graduan kelas pertama daripada universiti swasta.
Belanjawan 2026 mengekalkan pengecualian hanya kepada graduan kelas pertama dari universiti awam daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.