Pengerusi Maju Holdings mohon pasport dipulangkan untuk urusan ke UK

Pengerusi Maju Holdings mohon pasport dipulangkan untuk urusan ke UK

Abu Sahid Mohamed berkata beliau mahu menghantar anak perempuannya melanjutkan pengajian di sebuah universiti di London.

Tan Sri Abu Sahid Mohamed
Abu Sahid Mohamed berdepan lima pertuduhan pecah amanah sebanyak RM458 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM139 juta, semuanya berkaitan projek pembinaan lebuh raya MEX II.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed, yang sedang berdepan pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, memohon mahkamah membenarkan pasportnya dilepaskan buat sementara waktu bagi membolehkan beliau ke United Kingdom.

Ketika prosiding sebutan kes hari ini, peguamnya Jasbeer Singh Kaura memaklumkan mahkamah permohonan itu difailkan semalam.

Katanya, Abu Sahid mahu menemani anak perempuannya yang akan melanjutkan pengajian di sebuah universiti di London bulan depan.

Buat masa ini, pasport Abu Sahid masih ditahan mahkamah sementara perbicaraan kesnya berjalan.

Timbalan pendakwa raya Aznika Anas mengesahkan pihak pendakwaan menerima permohonan itu tetapi memaklumkan mereka akan membantah.

Katanya, pendakwaan akan memfailkan afidavit bagi menjelaskan sebab bantahan dan meminta mahkamah menetapkan tarikh pendengaran.

Hakim Suzana Hussin menetapkan 17 Dis untuk mendengar permohonan terbabit.

Mahkamah juga membenarkan permohonan peguam supaya anak guamnya dikecualikan daripada hadir pada hari pendengaran nanti.

Abu Sahid, 74, berdepan lima pertuduhan pecah amanah dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram, yang semuanya sedang menunggu perbicaraan di mahkamah sama.

Pertuduhan itu difailkan pada September lalu.

Kes pecah amanah melibatkan RM458 juta, manakala RM139 juta bagi pertuduhan pengubahan wang haram, berkait projek pembinaan sambungan Lebuhraya Maju Expressway (MEX II).

Pertuduhan pecah amanah dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 20 tahun dan denda.

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.