
Beliau berkata sehingga bulan ini, hasil negeri berada di landasan yang tepat, RM2.5 bilion.
“Pada asalnya kita menjangka RM2 bilion. Kemudian kita lihat kita berada pada landasan untuk mencapai RM2.5 bilion. Tetapi insya-Allah, berdasarkan laporan semalam, Johor akan menutup tahun ini dengan rekod RM2.6 bilion.
“Peningkatan hasil itu akan terus dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif dan pembangunan. Syukur alhamdulillah…peningkatan hasil ini akan kita pulangkan kepada Bangsa Johor yang kita cintai,” katanya menurut Bernama pada Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru.
Sementara itu, Onn Hafiz dalam ucapannya berkata susulan pencapaian yang membanggakan tahun ini, beliau berharap kutipan hasil negeri dapat mencapai RM3 bilion tahun depan.
Menurutnya pertemuan dengan rakan strategik termasuk Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (Irda), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), dan Invest Johor menunjukkan momentum pelaburan yang sangat positif.
Katanya, Johor dijangka mencapai nilai pelaburan berpotensi mencecah RM110 bilion menjelang akhir tahun ini, dibantu perkembangan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang giat dipromosikan.
Jumlah itu berjaya mencapai sasaran RM100 bilion bagi keseluruhan tahun dengan RM91.1 bilion direkodkan sehingga suku ketiga 2025.
“Dengan prestasi sebegini, tahun depan saya akan memberikan indeks prestasi utama yang lebih tinggi kepada mereka,” katanya sambil merujuk komitmen kerajaan negeri menghargai petugas yang terlibat dalam pembangunan dan pelaburan.