Sukan SEA: ‘Tuah’ Harimau Muda lolos ke separuh akhir

Sukan SEA: ‘Tuah’ Harimau Muda lolos ke separuh akhir

Skuad bawah-23 mara sebagai naib juara terbaik dalam kalangan tiga kumpulan menyingkirkan Indonesia berdasarkan jumlah gol.

Pada peringkat kumpulan, Malaysia menewaskan Laos 4-1 tetapi tewas 0-2 kepada Vietnam, yang akan menentang Filipina dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. (Gambar Malaysia NT)
PETALING JAYA:
Harimau Muda lolos ke separuh akhir bola sepak Sukan SEA di Bangkok, Thailand, selepas juara bertahan, Indonesia, gagal menumpaskan Myanmar dengan margin tiga gol, yang diperlukan untuk mara ke kelompok empat terakhir hari ini.

Indonesia menang 3-1 untuk menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan C dengan tiga mata dan perbezaan gol +1, sama seperti Malaysia dalam Kumpulan B, yang didahului Vietnam.

Namun, skuad bawah-23 negara mara selepas menjaringkan empat gol berbanding Indonesia, tiga gol.

Skuad kendalian Nafuzi Zain berdepan tugas sukar di separuh akhir apabila akan bertemu pasukan tuan rumah, Thailand, yang terkenal kebal di laman sendiri.

Di bawah peraturan baharu tahun ini, hanya pasukan teratas daripada tiga kumpulan mara ke separuh akhir, dengan tempat terakhir diberikan kepada naib juara terbaik.

Pada peringkat kumpulan, Malaysia menewaskan Laos 4-1, tetapi tumpas 0-2 kepada Vietnam, yang akan menentang Filipina dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Kali terakhir skuad muda negara menang pingat emas bola sepak Sukan SEA pada 2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.