
Khaled berkata, kerajaan negara itu mengiktiraf hubungan akrab Malaysia-UAE, serta mengalu-alukan penyertaan syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan EDGE Group, konglomerat teknologi dan pertahanan milik negara itu.
“Saya juga berpeluang membentangkan keupayaan negara dalam bidang semikonduktor dan komponen aeroangkasa, yang dilihat berpotensi untuk menyokong rantaian bekalan produk pertahanan EDGE Group pada masa hadapan.
“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk terus memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan modal insan, kerjasama pertahanan serta pembangunan inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama,” katanya dalam kenyataan.
Malaysia telah mencadangkan kolaborasi latihan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kapal kelas Gowind milik UAE sebagai sebahagian daripada persediaan mengoperasikan kapal LCS Malaysia yang menggunakan teknologi sama.
“Cadangan ini disambut baik oleh pihak UAE dan akan diteliti dengan lebih lanjut dari segi bentuk serta keperluan latihan bersesuaian,” katanya.
Terdahulu, Khaled pada 11 Dis lalu tiba ke UAE bagi mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawat, Mohamed Mubarak Fadhel Al Mazrouei di Abu Dhabi.
Lawatan kerja berkenaan menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan secara konsisten, selari hubungan ekonomi dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia-UAE.
Dalam pada itu, pemeteraian MoU antara kedua-dua negara menandakan satu lagi perbatuan penting dalam hubungan strategiknya.
“Jika sebelum ini kerjasama lebih tertumpu kepada aspek ketenteraan, MoU ini kini meluaskan skop kerjasama pertahanan secara lebih menyeluruh, selari dengan aspirasi kedua-dua negara untuk membina hubungan diplomasi pertahanan yang lebih erat, moden dan berpandangan jauh.”
MoU ditandatangani turut melibatkan komitmen antara lain menggalakkan penyelidikan pertahanan bersama, serta meneroka pengeluaran produk pertahanan.
“MoU ini juga bakal menjadi jambatan penting bagi memulakan libat urus industri dengan segera, khususnya mengenal pasti bidang tumpuan bersama dan potensi projek berimpak tinggi yang boleh dikomersialkan, demi memperkukuh ekosistem industri pertahanan di kedua-dua negara,” kata Khaled.
Pada masa sama, Malaysia-UAE turut komited meningkatkan koordinasi latihan ketenteraan dan perkongsian kepakaran, termasuk inisiatif latihan bersama yang dapat memperkukuh kesiapsiagaan, interoperabiliti, dan keupayaan angkatannya.
Khaled juga berpeluang berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi, disambut Duta Besar Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.
“Saya menzahirkan penghargaan atas komitmen yang dipamerkan dalam memperkukuh hubungan Malaysia-UAE, termasuk dalam aspek pertahanan yang cukup penting kepada kedua-dua negara. Selain memastikan kepentingan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara di luar negara, kedutaan kita berperanan dalam mengukuhkan diplomasi pertahanan, serta menyokong agenda keselamatan negara.”