
Justeru, polis tidak menolak kemungkinan pemandu kenderaan itu di bawah pengaruh dadah ketika kejadian, menurut Ketua Polis Machang Ahmad Shafiki Hussin.
“Sebelum kejadian, ada saksi melihat kereta itu dipandu dalam keadaan terhuyung hayang masuk kanan kiri jalan,” kata Ahmad Shafiki, lapor Sinar Harian.
“Ujian air kencing tidak dapat dilakukan kerana pemandu berusia 34 tahun itu berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Pakar USM (Universiti Sains Malaysia).”
Beliau berkata, polis tetap membuat tangkapan, tetapi suspek diberi jaminan polis kerana sedang dalam keadaan kritikal di hospital.
Ahmad Shafiki turut memaklumkan, lelaki yang berasal dari Gua Musang itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau melibatkan kes narkotik, serta dua kes jenayah termasuk liwat.
Beliau berkata, kes kemalangan maut ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya, 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu dilaporkan seorang anggota tentera maut manakala tiga lagi cedera selepas trak dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Proton Wira di Kampung Bukit Belah di Machang, Kelantan.
Kejadian kira-kira 6.51 petang itu, turut menyebabkan pemandu Proton Wira cedera parah.