
Katanya, perkara itu ‘mungkin terlepas pandang’ semasa penggubalan Perlembagaan, yang memperuntukkan hak orang Melayu dan kedudukan Islam.
“Dalam Perlembagaan negara, hak Melayu ada, hak agama Islam pun ada, hak agama lain pun ada. Semua dibagi kebebasan.
“Tetapi tidak sebut nak jadi perdana menteri mesti Melayu beragama Islam. Mungkin terlepas pandang,” katanya ketika berucap di Konvensyen Melayu 153 di ibu negara hari ini, lapor Sinar Harian,
Noh, yang mempengerusikan konvensyen itu, membandingkan Perlembagaan dengan Perlembagaan Selangor, yang mensyaratkan menteri besar mesti dalam kalangan Melayu-Islam.
Beliau menyeru orang Melayu supaya bersatu bagi membolehkan pindaan Perlembagaan tersebut direalisasikan.
Angka ‘153’ pada nama konvensyen ini merujuk kepada Perkara 153 Perlembagaan, peruntukan mengenai jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak, juga kepentingan sah kaum lain berwarganegara Malaysia.
Menurut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.