Tak rayu pembebasan Rosmah ikut lunas undang-undang

Tak rayu pembebasan Rosmah ikut lunas undang-undang

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu dibuat selepas peguam negara mendapati tiada keperluan rayuan dibuat berikutan asas kes yang lemah.

rosmah
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tekan prinsip kedaulatan undang-undang termasuk melibatkan Rosmah Mansor dan tidak boleh mengikut selera politik pihak tertentu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan pihak pendakwaan menarik balik rayuan berkait pembebasan Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang dibuat mengikut lunas undang-undang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas peguam negara mendapati tiada keperluan rayuan dibuat berikutan asas kes yang lemah.

“Saya nak jelaskan, kes mahkamah ini bukan kerana dia itu penyokong kita, seteru kita, tetapi ikut lunas jalur hukum. Bila didakwa, 2018. Apakah proses berjalan? Ya. Apa kata hakim? Lemah sangat kes itu.

“Tanya siapa peguam negara 2018? Siapa perdana menteri? Kes itu terlalu lemah dan predikatnya alasan itu sangat tidak berasas. Kalau hakim berkata begitu dan peguam negara teliti semula, jadi dia ambil keputusan tidak merayu,” katanya menurut Harian Metro selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah, Kampung Kelibang, di Langkawi.

Anwar berkata, keputusan pendakwaan itu tidak menjejaskan perjalanan kes lain membabitkan Rosmah dan ia masih berjalan.

“Apakah ini mematikan kes lain? Kes lain berjalan seperti biasa. Tetapi saya ingin mengingatkan rakan-rakan, baik pembangkang atau kerajaan ataupun badan kerajaan atau badan guaman.

“Harus ingat bahawa prinsip keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang mesti dipelihara. Jangan kerana kita tidak senang dengan satu dua kelompok, maka kita mesti putuskan ikut selera politik masing-masing,” katanya.

Pada Selasa, pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Rosmah daripada 12 tuduhan pengubahan wang lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rosmah, 74, dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017, dan didakwa pada 4 Okt 2018.

Perbicaraan bermula pada 24 Ogos 2023, dengan dua saksi pendakwaan memberi keterangan. Prosiding terhenti dua minggu kemudian selepas Rosmah memfailkan permohonan pembatalan kesnya pada 6 Sept.

Hakim K Muniandy memutuskan pertuduhan terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu, tidak sah dan cacat kerana tidak mematuhi peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.